Mavi Marmara saksi kekejaman Israel

Iklan
Noorazman menceritakan detik cemas ketika diserang oleh tentera Israel.

KEKEJAMAN tentera rejim Zionis yang melakukan serangan ke atas kapal Mavi Marmara di perairan antarabangsa di Laut Mediterranean pada 31 Mei 2010, pasti tidak dapat dilupakan umat Islam di seluruh dunia.

Walaupun kejadian itu sudah 11 tahun berlalu, namun ia masih segar dalam ingatan Ketua Misi Life Line For Gaza, Dr Noorazman Mohd Samsuddin.

Iklan
Iklan

"Tragedi berdarah itu menjadi titik hitam yang telah menggemparkan dunia,” katanya dalam satu temu bual khas di Pejabat Persatuan Pengguna Islam Malaysia di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Noorazman adalah antara 12 rakyat Malaysia yang berada di atas kapal Mavi Marmara yang membawa bantuan kemanusiaan untuk rakyat Palestin di Semenanjung Gaza.

Iklan
Noorazman - FOTO ASRIL ASWAND SHUKOR

Kapal Mavi Marmara merupakan salah satu daripada konvoi beberapa buah kapal yang membawa kira-kira 700 sukarelawan dari 40 buah negara.

Kapal itu meninggalkan Pelabuhan Antalya, Turki menuju ke titik pertemuan semua kapal konvoi di perairan antarabangsa di selatan Pulau Cyprus pada 28 Mei 2010.

Iklan

"Kami berkumpul di tengah laut selama dua hari, sebelum bergerak ke Semenanjung Gaza.

"Pada masa sama, banyak aktiviti dilakukan para sukarelawan sesama mereka antaranya berkenalan, berkongsi pengalaman serta mempersembahkan lagu tradisional negara masing-masing,” kata beliau.

Pasukan Life Line For Gaza bergambar bersama pada 19 Mei 2010.

Noorazman berkata, sehari sebelum insiden serangan ke atas Mavi Marmara, para sukarelawan telah dimaklumkan beberapa aset armada laut tentera Zionis dikesan sedang menuju ke arah kapal itu untuk mengganggu dan menghalang perjalanannya.

"Radar Mavi Marmara menunjukkan dua kapal selam, tiga kapal perang, tiga helikopter dan lebih 30 bot Zodiak sedang menuju ke kapal kami,” katanya.

Lakaran radar kapal Mavi Marmara yang telah dikepung oleh pasukan armada laut Israel.

Beliau berkata, selepas solat jamak Zuhur dan Asar secara berjemaah, taklimat telah diberikan oleh Presiden Insani Yardim Fakvi (IHH), Bulent Yildirim merangkap ketua Flotila.

"Bulent bertanya kepada para sukarelawan, adakah kami mahu meneruskan perjalanan ke Gaza atau berpatah balik?

"Pada masa itu semua sukarelawan diam kerana memikirkan risiko apabila bertembung dengan pasukan elit komando Israel.

"Bulent memaklumkan dia berasa malu dipandang ALLAH SWT sebagai ‘pengecut’ jika berpatah balik.

"Oleh itu, kami sebulat suara untuk meneruskan perjalanan ke Gaza,” katanya.

Taklimat Bulent Yildirim sebelum kapal belayar ke titik pertemuan untuk ke Gaza.

Zionis hantar dron pengintip

Noorazman kemudian menghadiri satu mesyuarat untuk memilih beberapa orang daripada pasukan Malaysia dan Indonesia bagi membantu anak kapal sekiranya berlaku kecemasan.

"Ketua keselamatan kapal memaklumkan kemungkinan kapal itu akan berhadapan dengan gangguan tentera Zionis pada lewat malam atau esok pagi (31 Mei 2010) kerana perjalanan Mavi Marmara sudah hampir dengan Gaza,” katanya.

Selepas itu, Noorazman bersama pasukannya berbincang bagi melantik wakil untuk menghadiri mesyuarat jawatankuasa kecemasan.

Dalam masa sama, satu mesyuarat khas dalam kalangan ahli perubatan telah diadakan bagi membincangkan perihal bilik rawatan kecemasan andai berlaku perkara yang tidak diingini.

Noorazman sedang berbincang berkenaan tugas dalam membantu kawalan kapal.

Beliau berkata, para sukarelawan mula berkawal di setiap sudut kapal pada jam 9 malam.

"Arahan yang diterima adalah jangan melakukan kekerasan (bunuh) terhadap askar Zionis kerana tujuan utama kami adalah misi kemanusiaan dan keamanan,” ujarnya.

Pasukan Noorazman telah ditugaskan untuk berkawal di bahagian kiri dek utama di tingkat tiga kapal berkenaan.

Orang tua, wanita dan kanak-kanak dikecualikan daripada berkawal. Mereka ditempatkan di dalam kabin demi keselamatan.

Pada jam 4 pagi, 31 Mei 2010, para sukarelawan solat berjemaah secara bergilir-gilir selepas azan Subuh.

"Sementara menunggu giliran untuk solat, kami ternampak dron datang ke kapal. Kami lihat ada cahaya daripada dron tersebut seolah-olah ia sedang scan individu di atas kapal Mavi Marmara,” kata Noorazman.

Noorazman - FOTO ASRIL ASWAND SHUKOR

Pada masa yang sama, beberapa buah bot Zodiak yang membawa antara 10 hingga 15 anggota tentera Zionis mula menghampiri kapal Mavi Marmara dengan laju.

"Tiba-tiba kami ditembak tanpa sebarang amaran. Salah seorang sukarelawan Malaysia, Abdul Halim Mohamed Redzuan terkena tembakan di kepalanya, syukur dia selamat kerana terkena tembakan peluru getah,” katanya.

Komando Israel menembak seawal waktu Subuh.

Menurut Noorazman, helikopter yang membawa askar penembak tepat turut melakukan serangan ke atas Mavi Marmara. Mereka menggunakan cahaya laser untuk membantu panduan ketepatan sasaran tembakan.

"Saya dan rakan yang lain hanya mampu mencari tempat untuk berlindung daripada terkena tembakan askar Zionis,” ujarnya.

Beliau berkata, para sukarelawan tidak mampu berbuat apa-apa, hanya berlindung di sebalik tembok kerana hujan peluru datang dari semua arah.

"Pada awalnya, askar Zionis tidak berjaya naik ke kapal dari laut, bagaimanapun rakan pasukan mereka melepaskan tembakan dan menguasai tingkat lima kapal berkenaan iaitu di bumbung tempat helikopter turun,” kata beliau.

Sukarelawan ditembak tanpa belas kasihan oleh komando elit Israel.

Seorang sukarelawan Indonesia, Okvianto yang berada di sebelah Noorazman terjatuh akibat terkena tembakan.

"Dia (Okvianto) memegang hos air dan menyembur air ke arah tentera Zionis, kemudian terkena tembakan peluru hidup.

"Tangan kanannya berdarah akibat tembakan tepat daripada sniper, saya difahamkan peluru yang menembusi tangannya itu telah meletup menjadi 12 serpihan sehingga mengakibatkan tulang tangannya cedera parah,” cerita beliau.

Misteri jelmaan berpakaian putih

Komando tentera Israel kemudian diturunkan dari helikopter sambil menembak ke arah Mavi Marmara. Para sukarelawan di tingkat lima kapal itu terpaksa mempertahankan diri daripada dibunuh oleh komando tentera Israel.

Menurut Noorazman, komando itu menembak seperti orang yang takut kepada sesuatu seolah-olah ternampak hantu.

"Seorang sukarelawan dari Turki, Mehmet Ali Zeybek mendakwa tentera rejim Zionis ternampak enam jelmaan berpakaian serba putih di tingkat paling atas kapal tersebut.

"Siapakah pasukan berseragam putih (white soldiers) yang menghantui tentera Israel?” tanya beliau.

Komando Israel menawan kapal Mavi Marmara.

Menurutnya, darah para syuhada mula mengalir dari tingkat lima kapal berkenaan. Rakan sukarelawan yang terkorban ialah Ibrahim Bilgen, Ali Haydar Bengi, Furkan Dogan, Cetin Topcuoglu, Necdet Yildirim, Yaldiz Fahri, Songur Cengiz, Akyuz Cengiz dan Cevdet Kiliclar.

Dalam pada itu, serangan di tingkat lima kapal berkenaan semakin ganas.

"Para sukarelawan terpaksa mempertahankan diri dan melawan balik serangan gila komando tentera Israel, senjata komando itu dirampas dan dibuang ke laut,” katanya.

Keadaan pintu dan dinding kapal yang dirosakkan oleh tentera Zionis.

Noorazman berkata, seramai tiga komando tentera Israel yang ditawan telah dibawa ke tingkat bawah kapal untuk menyelamatkan mereka daripada serangan rakan pasukan.

"Tiga komando itu turut dijaga dan dirawat oleh sukarelawan doktor perubatan, namun seorang doktor lain membantah keras serta mempersoalkan kerana tentera itu telah membunuh rakan sukarelawan.

"Ketua yang menjaga tawanan iaitu Mohamed El-Beltagy yang juga ahli Parlimen dari Mesir menjawab, dalam Islam kita wajib menjaga orang (komando) yang telah ditawan,” katanya.

Mavi Marmara ditawan

Sejak dari awal serangan, pengumuman berulang-ulang kali dibuat melalui pembesar suara oleh pemimpin Flotila dalam bahasa Inggeris dan Hebrew meminta askar Israel supaya berhenti menyerang.

Pemimpin kapal juga mengarahkan penumpang supaya duduk dan berhenti mempertahankan kapal kerana Mavi Marmara telah ditawan pada jam 7 pagi.

Berpuluh-puluh komando Zionis diturunkan dari helikopter dan menguasai dek atas kapal. Komando tentera Israel turut menaiki kapal tersebut dari bot yang telah mengepung Mavi Marmara.

Kawalan ketat sepanjang perjalanan ke Ashdod.

Menurut Noorazman, anjing K9 yang dibawa tentera Zionis turut digunakan untuk mengancam pasukan sukarelawan.

"Tangan kami telah diikat ketat dengan menggunakan tali pengikat plastik, kami duduk dan kepala dipaksa tunduk memandang lantai,” katanya.

Seramai sembilan orang telah syahid, 23 orang cedera parah dan 80 orang cedera akibat tembakan tentera.

Laporan bedah siasat ke atas mayat sembilan orang itu mendapati mereka ditembak dengan 30 butir peluru.

"Lima orang daripada syuhada itu ditembak tepat di kepala, ia membuktikan bahawa rejim Zionis membenarkan dasar tembak untuk membunuh,” kata Noorazman.

Wajah para syuhada di kapal Mavi Marmara.

Mangsa serangan telah dibawa ke dua tempat iaitu sukarelawan yang cedera dibawa ke hospital di Haifa.

Sukarelawan lain pula dibawa ke Pelabuhan Ashdod. Perjalanan dari tempat serangan ke pelabuhan itu mengambil masa 15 jam.

"Setibanya di pelabuhan, kami telah diperiksa dengan teliti, beberapa sukarelawan turut dimalukan dengan pemeriksaan seluruh badan (ditelanjangkan) dan ada sukarelawan turut dipukul oleh askar Israel,” katanya.

Sukarelawan kemudian dibawa ke sebuah penjara di Beer Sheva.

"Penjara itu kelihatan baharu kerana tilam dan bantal masih berbalut plastik, ia seolah-olah dibina untuk ‘menyambut’ kedatangan sukarelawan Flotila.

"Kami diberi makanan seperti roti keras, timun kecil, buah plum dan air mineral di penjara tersebut,” imbau beliau.

Penerima anugerah Tokoh Aktivis Masyarakat Negeri Selangor 2010 itu mendakwa makanan yang diberikan oleh tentera Israel kepada para sukarelawan itu disyaki telah direndam dalam racun arsenik.

"Perkara itu diketahui apabila kami menjalani pemeriksaan kesihatan setelah pulang ke Malaysia.

"Doktor memaklumkan badan kami mengandungi arsenik, mujur kami tidak dipenjarakan dalam tempoh yang lama,” katanya.

Tragedi berdarah lonjak misi bantu Palestin

Pemerintah rejim Zionis akhirnya akur dengan desakan dunia, khususnya kerajaan Turki yang mahu tawanan dibebaskan dalam tempoh 48 jam kecuali yang masih dirawat di hospital.

Sukarelawan Malaysia, Indonesia dan Jordan yang dibebaskan menaiki bas untuk dibawa ke Jordan pada jam 5 petang, 1 Jun 2010.

Duta Malaysia, Datuk Abd Malek Abd Aziz bersama sekumpulan pegawai kedutaan pada ketika itu telah menyambut sukarelawan di Jordan.

Antara bas yang digunakan untuk menghantar sukarelawan yang dibebaskan ke sempadan Jordan.

"Kami ditempatkan di sebuah hotel lima bintang di Amman dan menjadi tetamu diraja Jordan.

"Pada malam itu, kami dirai dengan majlis makan malam bersama Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Anifah Aman yang turut disertai pelajar dan rakyat Malaysia yang bekerja di negara tersebut,” katanya.

Noorazman bersama 12 individu lagi daripada pasukan Life Line For Gaza (gabungan pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) yang prihatin kepada Palestin) selamat pulang ke tanah air pada jam 5.40 pagi, 6 Jun 2010.

"Keluarga turut ternanti-nanti kepulangan kami di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sejak jam 4.30 pagi.

"Kami telah disambut sebagai wira negara, namun, rakan-rakan sukarelawan yang terbunuh akibat serangan jahat rejim Zionis itu adalah wira yang sebenarnya,” katanya.

Noorazman mencium anaknya selepas pulang ke tanah air.

Ternyata insiden berdarah kapal Mavi Marmara itu tidak mematahkan semangat Noorazman untuk terus melakukan aktiviti kemanusiaan.

"Selepas peristiwa itu, aktiviti berkaitan Palestin makin ‘meletup’, banyak NGO yang mahu melaksanakan misi kemanusiaan,” katanya.

Menurut beliau, ada segelintir pihak yang mula mengutip dana daripada orang ramai kononnya mahu membantu rakyat Palestin.

"Malangnya, ada dalam kalangan mereka tidak jujur, akhirnya timbul banyak krisis. Saya berharap niat NGO lain untuk membantu Palestin jujur,” katanya.

Noorazman berkata, pihaknya pernah mencadangkan semua NGO bergabung bagi melaksanakan misi bantuan Palestin secara teratur.

"Paling penting kita jangan mengiktiraf Israel kerana mereka melakukan kekejaman dan penindasan terhadap rakyat Palestin,” katanya.

Noorazman bergambar bersama kapal Mavi Marmara di Istanbul setelah kapal itu kembali dari Israel.