Nasib 23,000 doktor kontrak Malaysia terumbang-ambing

Iklan
Malaysia akan berdepan kekurangan tenaga pakar jika ramai doktor-doktor muda meninggalkan perkhidmatan awam.

KETIKA negara berhadapan saat kritikal menghadapi pandemik Covid-19, nasib kira-kira 23,000 doktor kontrak seakan belum ada sinarnya.

Kita tahu, mereka juga adalah sebahagian daripada barisan hadapan yang telah dan sedang bertungkus lumus ‘berperang’ dengan pandemik di semua fasiliti kesihatan seluruh negara.

Iklan
Iklan

Namun, masa depan doktor kontrak ini terumbang-ambing kerana statusnya yang tidak tetap, skim gaji yang lebih rendah serta tiada kemudahan untuk menyambung pelajaran.

Jika doktor kontrak ini ingin menyambung pelajaran, mereka perlu mengeluarkan duit poket mereka sendiri, namun itu bukanlah jaminan bahawa mereka akan diserapkan ke jawatan tetap.

Iklan

Mereka seperti dianaktirikan oleh kerajaan, namun tenaga mereka ‘diperah’ sama seperti jawatan tetap.

Bahkan, doktor kontrak juga tiada pencen serta tidak layak mendapat 'Flight warrant' dan pinjaman perumahan Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPA).

Iklan

Selain itu, mereka tidak layak untuk mendapat cuti (cuti tanpa gaji/separa gaji, cuti sakit TB/Leprosy/Cancer, study leave dan childcare leave), di samping tidak layak untuk Hadiah Latihan Persekutuan (HLP).

Oleh itu, gerakan Hartal Doktor Kontrak menuntut supaya kerajaan menawarkan pelantikan tetap kepada semua pegawai perubatan lantikan kontrak sedia ada dan memohon penjelasan terperinci kriteria pelantikan tetap.

Jika dua tuntutan ini tidak diselesaikan, doktor-doktor kontrak di seluruh negara akan menjalankan mogok pada 26 Julai ini dengan tidak hadir bertugas, tanpa menjejaskan penjagaan kesihatan negara.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, isu pegawai perubatan kontrak yang belum diserap ke jawatan tetap akan dibawa ke mesyuarat kabinet.

"Saya mohon doktor-doktor yang sedia ada dalam skim kontrak supaya bersabar dan bertenang. Kertas kerja telah disiapkan dan kita akan lihat keputusan jemaah menteri nanti," kata Adham.

Tambahnya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melaksanakan penambahbaikan skim pegawai perubatan kontrak iaitu menaikkan gaji dari UD41 kepada UD43 hampir menyamai gaji pegawai perubatan tetap.

Dalam pada itu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, rayuan doktor kontrak tersebut akan dibincang dengan teliti bersama jemaah menteri memandangkan ia akan membabitkan kos yang tinggi iaitu lebih RM2 bilion kepada kerajaan.

Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Apalah sangat dengan pertambahan RM2 bilion setahun dibandingkan dengan pengorbanan doktor kontrak dan barisan hadapan lain yang sedang berjuang membendung pandemik Covid-19.

Harapnya kerajaan janganlah berkira sangat dengan RM2 bilion. Walaupun kosnya tinggi, tapi ia berbaloi dengan hasil yang akan diperoleh. Ini melibatkan penjagaan kesihatan dan nyawa rakyat bagi jangka masa panjang.

Jika semua doktor ini ‘merajuk’ dan berhenti kerja, apa jadi dengan sistem penjagaan kesihatan negara?

Sumbangan dan peranan doktor kontrak tidak wajar dipinggirkan. Selagi mereka tidak berjawatan tetap, selagi itu ketidakadilan dan ketidaktentuan akan berlaku terhadap mereka.

Negara kita dicanang sebagai antara negara yang mempunyai rangkaian sistem penjagaan kesihatan terbaik di dunia. Namun, adakah ‘penjaga’ terhadap penjagaan kesihatan di negara kita juga di tahap yang terbaik?

Tepuk dada tanya kerajaan, jangan tanya saya. Saya hanya seorang rakyat yang mengharapkan masa depan yang lebih baik buat sebahagian barisan hadapan yang memperjuangkan haknya.

Saat kita berada di rumah, sama ada berehat, makan atau bekerja, barisan hadapan termasuk doktor-doktor kontrak negara sedang gigih berjuang melawan virus bahaya tanpa henti.

Ayuh kita bersolidariti dan menyokong tuntutan doktor-doktor kontrak. Moga ada sinar buat mereka.

* Mohammad Hafizuddin Abdul Mukti ialah Pegawai Penerangan dan Perhubungan Pertubuhan IKRAM Malaysia