KEADAAN cuaca panas terik di Enoshima Yacht Harbour antara rintangan awal dihadapi kem pelayaran negara menjelang Sukan Olimpik Tokyo, dijadual bermula 23 Julai hingga 8 Ogos ini.
Lokasi pelayaran yang bakal membuka tirai saingan pada 25 Julai ini, bagi temasya sukan terbesar dunia itu terletak di Bandar Fujisawa, kira-kira 70 kilometer (km) dari Tokyo.
Jurulatih, Muhammad Sahir A Rahim berkata, anak buahnya yang memulakan sesi latihan pertama semalam sejak tiba dari Tokyo pada 8 Julai lalu terpaksa berlayar di tengah laut dengan cuaca lebih panas dari Malaysia iaitu sekitar 33 hingga 35 darjah celsius.
"Saya sudah ingatkan mereka (atlet) agar minum air lebih banyak dan membawa bekas ais bagi tujuan menyejukkan badan,” katanya ketika dihubungi.
Muhammad Sahir berkata, cabaran lebih getir menanti pelayar negara apabila kelajuan angin laut di sana dijangka meningkat dari enam hingga lapan knot ketika ini, kepada 13 knot dalam beberapa hari lagi.
Bukan itu sahaja, beliau berkata atlet juga dijangka belayar dalam keadaan cuaca tidak menentu termasuk hujan yang dijangka selepas ini.
Muhammad Sahir pada masa sama turut memaklumkan tiada masalah kerosakan teknikal dikesan pada bot pelayarnya setakat ini.
Empat atlet pelayaran bakal membawa cabaran Malaysia pada Sukan Olimpik Tokyo.
Mereka adalah Khairulnizam Mohd Afendy bagi acara laser lelaki, Nur Shazrin Mohd Latif (laser wanita), serta Nuraisyah Jamil dan Juni Karimah Noor Jamali (kedua-duanya acara International 470 wanita).
Sementara itu, Nur Shazrin, yang akan membuat penampilan kedua di Olimpik selepas Rio 2016, begitu teruja untuk bersaing dengan pelayar-pelayar terbaik dunia di Negara Matahari Terbit itu.
"Saya teruja untuk menguji sejauh mana kemajuan saya. Saya berjanji akan berjuang bersungguh-sungguh. Demi Malaysia,” katanya dalam kiriman di laman Facebook Majlis Sukan Negara.
Semasa penampilan sulungnya di Sukan Olimpik Rio 2016, pemenang pingat gangsa Sukan Asia 2018 itu menduduki tempat ke-33 dalam acara radial laser.