KUANTAN - Sebuah pasar raya borong di sini, MO Wholesales menyediakan Bank Ikan bagi membantu penduduk yang terkesan akibat pandemik Covid-19 dan mengagihkan 2,000 kilogram (kg) ikan pelaling pada Sabtu.
Pengarah Eksekutif Operasi MO Wholesales Pantai Timur, Mohd Rofzan Mohd Latiff berkata, pengagihan ikan itu selepas mendapati masih belum ada pihak menawarkan bantuan barangan basah.
"Ramai yang menawarkan pelbagai barangan keperluan asas kepada mereka yang terkesan tetapi tidak ramai yang menawarkan barangan basah.
"Jadi, kami mendapat idea untuk melancarkan Program Bank Ikan untuk masyarakat," katanya pada sidang akhbar selepas mengagihkan ikan di perkarangan pasar raya dalam Kompleks Pasar Borong Baru Kemunting, Jalan Tanah Putih secara pandu.
Beliau menambah, setiap penerima akan memperoleh dua kilogram ikan jenis pelaling dan proses pengagihan selesai sepenuhnya dalam masa kira-kira dua jam.
Ditanya mengenai perancangan seterusnya pihak MO Wholesales bagi membantu kumpulan yang terdepan masalah kehilangan sumber pendapatan, Mohd Rofzan berkata, pihaknya akan melancarkan Bank Makanan di pekarangan pasar raya miliknya itu tidak lama lagi.
"Kami akan meneruskan pengagihan ikan percuma dari masa ke masa bergantung kepada bekalan ikan yang peroleh.
Program sama akan diperluaskan ke semua enam rangkaian pasar raya milik MO Wholesales secara berperingkat.
Katanya, Bank Ikan sesi kedua akan diadakan di cawangannya di Kemaman, Terengganu dalam masa terdekat.