MPN tidak lagi relevan: Mukhriz

Iklan
Kenyataan media Mukhriz pada Sabtu.

SHAH ALAM - Presiden Parti Pejuang Tanahair (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir menyifatkan tujuan asal penubuhan Majlis Pemulihan Negara (MPN) tidak lagi relevan apabila Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dinamakan sebagai pengerusinya.

Ahli Parlimen Jerlun itu berkata, ia kerana Muhyiddin terbukti gagal untuk menyekat penularan wabak apabila angka jangkitan dan kematian terus meningkat sehingga rakyat semakin tertekan mengakibatkan kes-kes bunuh diri juga bertambah.

Iklan
Iklan

"Selaku Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mendapat kelulusan bajet nasional yang terbesar dalam sejarah negara, melancarkan pelbagai pendekatan bagi menangani penularan Covid-19, malah menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan darurat supaya kerajaan Perikatan Nasional (PN) ini dapat bebas membuat sesuka hati tanpa diganggu Parlimen dan Perlembagaan Persekutuan.

"Bagaimana rakyat boleh berharap satu perubahan besar akan berlaku sekiranya pemimpin yang terbukti gagal seperti Muhyiddin mengepalai MPN?" soalnya menerusi satu kenyataan pada Sabtu.

Iklan

Kementerian Kewangan pada Jumaat mengumumkan bahawa kerajaan akan menubuhkan MPN selepas cadangan penubuhan majlis itu diusulkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini.

Mukhriz berkata, majlis yang ditubuhkan oleh Muhyiddin itu berbeza dengan apa yang dicadangkan Dr Mahathir dan Pejuang.

Iklan

Menurutnya, cadangan asal Dr Mahathir mengenai majlis itu adalah bagi mengatasi masalah Covid-19 yang tidak dapat diatasi dan diuruskan oleh kerajaan gagal terbabit.

Beliau memberitahu, demi tujuan itu, cadangan asalnya adalah majlis itu diberi kuasa autonomi menggantikan kuasa eksekutif kabinet dan bertanggungjawab terus kepada Yang di-Pertuan Agong serta mendapat pandangan atau cadangan dari Parlimen.

Justeru, katanya, tindakan Muhyiddin itu sekadar mahu mengelirukan orang ramai dan tidak sama sekali membawa roh dan aspirasi majlis berkenaan.

"MPN hanya akan berjaya jika tidak melibatkan mereka daripada kerajaan gagal ini," katanya.