KUALA LUMPUR - Pemukiman Tidak Rasmi Ketua-ketua Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) telah mengambil kata sepakat untuk mempercepat akses kepada vaksin Covid-19 yang adil dan saksama, selamat, berkesan, terjamin kualiti dan mampu milik agar pemulihan ekonomi dapat berjalan lancar.
Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berkata, kesepakatan itu dicapai pada mesyuarat pemukiman berkenaan yang diadakan secara maya pada Jumaat dengan delegasi Malaysia diketuai oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
"Ketua-ketua APEC turut komited untuk melipatgandakan usaha memperluas pembuatan dan bekalan vaksin, menyokong usaha perkongsian vaksin global dan menggalakkan pemindahan teknologi pengeluaran vaksin secara sukarela," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Pemukiman ini dipengerusikan oleh Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern dan dihadiri oleh 21 ekonomi APEC termasuk Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden, Presiden China, Xi Jinping, Presiden Rusia, Vladimir Putin, Presiden Indonesia, Joko Widodo dan Perdana Menteri Jepun, Yoshihide Suga.
MITI berkata, bagi menunjukkan solidariti dalam memerangi krisis kesihatan dan ekonomi Covid-19, para pemimpin telah mengeluarkan 'Pernyataan Ketua-ketua Ekonomi APEC: Menangani Covid-19 dan Mempercepat Pemulihan Ekonomi'.
"Sambil mengulangi komitmen mereka dalam merealisasikan Visi Putrajaya ke arah komuniti Asia-Pasifik yang terbuka, dinamik, berdaya tahan dan aman makmur menjelang 2040, pernyataan itu memfokuskan pada tiga bidang utama iaitu pertumbuhan kukuh, seimbang, selamat, lestari/mampan dan inklusif; inovasi dan digitalisasi; serta perdagangan dan pelaburan - yang juga merupakan pendorong utama visi berkenaan," jelasnya.
MITI berkata, menerusi ucapan intervensinya, Muhyiddin menyifatkan Pemukiman Tidak Rasmi itu sebagai 'acara penting untuk merenung kembali setiap peluang kerjasama yang terlepas yang boleh memperkuatkan usaha ke arah pemulihan ekonomi yang pesat, mampan dan saksama'.
Ia menambah, perdana menteri turut berkata;"walaupun terdapat beberapa negara telah kembali kepada tahap tertentu yang normal, banyak negara yang masih bergelut untuk mendapatkan semula kestabilan ekonomi" - merujuk pada ekonomi membangun dan bukan pengeluar vaksin di APEC.
Menurut MITI lagi, Muhyiddin juga menekankan hubung kait positif antara kejayaan program vaksinasi atau peningkatan kadar inokulasi serta kemampuan untuk mempercepatkan proses pemulihan ekonomi.
"Malaysia menyokong inisiatif global untuk meningkatkan kapasiti pemberian vaksin global, termasuk menerusi rundingan di Pertubuhan Perdagangan Dunia yang melibatkan pengecualian sementara peruntukan tertentu dalam Perjanjian Aspek Harta Intelek berkaitan Perdagangan (TRIPS).
"Ini merupakan langkah dan hala tuju yang tepat memandangkan keadaan luar biasa juga memerlukan tindakan seumpamanya,” kata MITI memetik kata-kata perdana menteri.
Dalam pada itu, MITI berkata, Muhyiddin turut mengambil kesempatan mengucapkan tahniah kepada Suga dan Jepun kerana menganjurkan temasya Sukan Olimpik 2020 yang akan bermula minggu depan.
MITI menambah, perdana menteri menyifatkan acara itu sebagai 'bukti bagaimana perjalanan rentas sempadan boleh dilaksanakan dengan langkah-langkah ketat dan persekitaran terkawal'.
Sejak penyataan mengenai Covid-19 dikeluarkan oleh Menteri-menteri Bertanggungjawab bagi Perdagangan APEC ketika Malaysia menjadi tuan rumah pada 2020, APEC telah memperkenalkan pelbagai dasar yang dirumuskan untuk mengatasi cabaran yang timbul daripada krisis kesihatan dan ekonomi, yang dijangka dapat bertahan lama.
Para pemimpin akan bertemu sekali lagi pada bulan November untuk memuktamadkan usaha dan pencapaian APEC 2021. - Bernama