Gavin, Kelly bersedia mula kempen Tokyo 2020

Iklan
Gavin Green dan Kelly Tan. -Foto AFP

PENYERTAAN sulung pada Sukan Olimpik Rio 2016 tidak membuahkan hasil yang diharapkan bagi pemain golf profesional negara, Gavin Kyle Green dan pemain wanita profesional, Kelly Tan.

Gavin menamatkan saingan di tangga ke-47 bagi individu lelaki, manakala Kelly hanya mampu menduduki tempat ke-51 dalam kategori wanita pada temasya sukan terbesar dunia itu.

Iklan
Iklan

Lima tahun berlalu, kedua-dua pemain muda berusia 27 tahun itu, kini sudah cukup bersedia untuk memulakan saingan di Sukan Olimpik Tokyo, yang bakal berlangsung dari 23 Julai hingga 8 Ogos ini.

Pengurus pasukan golf Malaysia ke Tokyo, Boo Chi Chai berkata, Gavin dan Kelly telah bekerja keras sejak lima tahun lalu untuk melayakkan diri dalam kelompok 60 pemain terbaik dan mereka sudah tidak sabar untuk menyinar di negara Matahari Terbit itu.

Iklan

Bagaimanapun, Chi Chai sedikit khuatir terhadap persembahan kedua-dua pemain berkenaan memandangkan mereka tidak berada pada tahap permainan terbaik akhir-akhir ini.

"Permainan mereka ketika ini mungkin bukan pada tahap terbaik selepas gagal melepasi had kelayakan (cut-off) ke pusingan akhir dalam beberapa kejohanan tetapi saya percaya tidak ada yang mustahil di Olimpik.

Iklan

"Sekiranya semua berjalan lancar saya tidak terkejut jika Gavin dan Kelly mampu mempamerkan persembahan di luar dugaan,” katanya.

Gavin yang ketika ini bermain dalam Jelajah Eropah, gagal melepasi cut-off di Terbuka Scotland minggu lalu, manakala Kelly yang bertanding dalam Jelajah Persatuan Golf Profesional Wanita (LPGA ) mengalami nasib sama di Marathon LPGA Classic di Ohio, Amerika Syarkat, pada minggu yang sama.

Gavin dan Kelly layak ke temasya itu selepas masing-masing menduduki ranking ke-55 dan ke-42 daripada kelompok 60 dalam ranking golf Olimpik.

Sementara itu, Chi Chai yang juga naib presiden Persatuan Golf Malaysia berkata mereka tidak meletakkan sebarang sasaran di Olimpik Tokyo untuk tidak memberi tekanan kepada kedua-dua pemain berkenaan.

"Kedua-dua pemain telah menyatakan akan bermain mati-matian dan kini bersemangat tinggi untuk bertanding dan mencapai yang terbaik demi negara,” katanya.

Beliau juga menasihatkan kedua-dua pemain agar tidak gentar dengan kehadiran pemain-pemain terbaik dunia, sebaliknya meminta mereka menumpukan perhatian kepada permainan.

Acara golf akan berlangsung dari 29 Julai-7 Ogos di Kasumigaseki Country Club, Saitama, kira-kira 65 kilometer (km) dari Tokyo.