LABUAN - Seorang wanita cedera, manakala 46 penghuni hilang tempat tinggal selepas empat rumah kayu musnah dalam kebakaran di Kampung Batu Arang, Jalan Tun Mustapha di sini pada Sabtu.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JPBM) Labuan, Ismaidi Ismail berkata, mangsa yang kebanyakannya dewasa berada di rumah ketika kebakaran itu berlaku pada jam 11 pagi.
Iklan
Iklan
Beliau berkata, mangsa yang berusia 30 tahun itu mengalami kecederaan di muka ketika cuba menyelamatkan diri, manakala penghuni lain tidak mengalami sebarang kecederaan.
"Seramai 21 anggota dengan tiga jentera dikerah ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 11.18 pagi.
"Sebaik mereka tiba, dua rumah (rumah kongsi 17 pintu) hampir musnah, manakala dua lagi rumah bersebelahan, antara 10 dan 80 peratus terbakar,” katanya.
Katanya, anggota bomba mengambil masa hampir satu jam untuk memadamkan api. Punca kebakaran masih belum dapat dipastikan. - Bernama