KUALA TERENGGANU - Aliran trafik menghala ke Terengganu setakat ini terkawal dan tidak berlaku pertambahan mendadak jumlah kenderaan yang memasuki negeri itu.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md. Isa berkata, pihak berkuasa sentiasa bersiap siaga bagi memastikan hanya kenderaan yang mempunyai bukti serta alasan kukuh yang dibenarkan meneruskan perjalanan ke Terengganu.
Menurutnya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus memperketatkan lagi kawalan bagi memantau pergerakan trafik menjelang sambutan Aidiladha.
"Hasil tinjauan di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 2 di Perasing mendapati aliran trafik masih terkawal walaupun pada hujung minggu.
"Semua jenis kenderaan memasuki negeri ini akan diperiksa lebih teliti terutama di pintu masuk di LPT2," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak cuba merentas negeri atau daerah tanpa alasan yang kukuh.
"Walaupun tiada penambahan sekatan jalan raya (SJR), orang ramai diminta untuk tidak curi-curi merentas daerah atau negeri tanpa ada satu alasan kukuh atau kes yang benar-benar mustahak," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendah Hanyan Ramlan ketika dihubungi memberitahu aliran kenderaan yang memasuki daerah itu juga terkawal.
"Sehingga jam 3.55 petang ini (Sabtu) tiada perubahan atau peningkatan ketara melibatkan jumlah kenderaan yang memasuki Kemaman termasuk di kawasan Rehat dan Rawat (RNR) Perasing.
"Setakat ini aliran trafik serta kenderaan adalah terkawal," katanya.