SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Pemuda Pas menyarankan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) supaya melanjutkan tempoh masa tandatangan ke atas perjanjian Felda dan peneroka.
Ketuanya, Senator Ir Ts Khairil Nizam Khirudin berkata, saranan itu susulan kekangan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kesukaran para peneroka untuk berbincang bersama pihak yang berkaitan dalam membuat keputusan.
"Berdasarkan perkiraan pihak kami tempoh 14 hari seperti yang diumumkan oleh Felda adalah sangat tidak munasabah dan menyulitkan para peneroka," katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Sabtu.
ARTIKEL BERKAITAN: RM8.3 bilion hutang peneroka Felda dilupus
Pada masa sama, Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN) itu berkata, pihaknya merakamkan terima kasih kepada PN di atas langkah memperkasa Felda melalui strategi serampang tiga mata (Restart -Revitalise-Reform) khususnya mengenai penghapusan hutang peneroka secara purata sebanyak 80 peratus.
Menurutnya, rata-rata peneroka dianggarkan dapat mengurangkan jumlah bayaran bulanan antara RM800 hingga RM1,000 kepada RM150 (Peneroka Getah) dan antara RM250 hingga RM300 (Peneroka Sawit).
"Saya juga ingin menyatakan keprihatinan kami terhadap isu yang berlegar dalam kalangan peneroka dan aktivis peneroka Felda terhadap pengumuman Perdana Menteri mengenai terma-terma yang tidak jelas dalam Perjanjian Penghapusan Pinjaman Dan Pengurusan Kebun Antara Felda Dan Peneroka.
"Pihak kami turut menyarankan agar pihak Felda dapat mengambil inisiatif menganjurkan program libat urus bersama peneroka bagi memberi pencerahan dan penerangan terperinci mengenai perjanjian ini dan perkara-perkara yang berkaitan pada kadar segera," katanya.
Sehubungan itu, pihaknya juga mencadangkan agar pihak Felda dapat memperkasa strategi penerangan Felda mengenai isu sensasi tersebut dan isu-isu Felda yang berkaitan khususnya dengan memanfaatkan saluran media prima serta jentera-jentera penerangan Felda di peringkat wilayah.
"Kami berharap agar pihak Felda dapat mengambil perhatian berhubung tiga saranan ini agar Felda dan peneroka dapat mencari jalan menang-menang demi kebaikan bersama," ujarnya.