LANGKAWI – Pembukaan Pusat Pemberian Vaksin Integrasi (PPVI) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi (LICC) diyakini dapat mempercepatkan proses Pulau Legenda itu mencapai status imuniti kelompok.
Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pembukaan PPVI itu membolehkan proses vaksinasi dipercepatkan untuk 76,400 penduduk Langkawi yang layak menerima suntikan vaksin Covid-19 berbanding keseluruhan 111,500 penduduk.
Menurutnya, pihaknya menyasarkan 80 peratus penduduk Langkawi divaksin bagi membolehkan industri pelancongan di pulau itu kembali pulih dan dapat dibuka kepada pelancong pada September depan.
"Saya juga gembira apabila dimaklumkan, 80 peratus daripada penduduk pulau ini telah mendaftar vaksinasi menerusi MySejahtera. Ia sekali gus meletakkan Langkawi sebagai daerah tertinggi dalam pendaftaran MySejahtera berbanding daerah-daerah lain di Kedah,” katanya pada sidang media selepas merasmikan pembukaan PPVI di Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi (LICC) pada Sabtu.
Hadir sama, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri.
Muhammad Sanusi berkata, PPVI LICC berupaya menampung 3,000 penerima vaksin setiap hari dan merupakan PPV yang ketiga di Pulau Lagenda ini.
"Dua PPV sedia ada ialah di Pusat Sukan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) dan Dewan Syifa. Berbanding PPV biasa yang dikendalilan oleh kerajaan, PPVI menggabungkan operasi vaksinasi oleh kerajaan dan pihak swasta,” katanya.
Sementara itu, Nancy berkata, inisiatif menjadikan Langkawi sebagai destinasi bebas Covid-19 itu merangkumi tiga fasa Pelan Pemulihan Pelancongan kementerian berkenaan.
"Ini adalah projek rintis bawah program ‘green travel bubble’ yang kita laksanakan bagi memulihkan semula industri pelancongan negara yang menyebabkan ribuan hilang sumber pendapatan.
"Selepas Langkawi, kita akan laksanakan di lokasi pelancongan lain seperti Pulau Pinang, Melaka, Johor, Pahang dan Sabah,” katanya.
Menurutnya, pemilihan Langkawi untuk program rintis adalah berikutan kedudukan pulau ini yang terasing daripada tanah besar sekali gus memudahkan urusan pemantauan dan penilaian tahap keberkesanannya, selain menjadi destinasi utama pelancongan negara.