Pasangan jarak jauh antara punca pertambahan kenderaan ke Kelantan

Iklan
Gambar hiasan

IPOH - Urusan perhubungan pasangan jarak jauh (PJJ) antara punca pertambahan kenderaan yang merentas ke Kelantan melalui Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli menjelang Aidiladha ini.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, berdasarkan pemeriksaan didapati, kebanyakan pengguna jalan raya yang merentas negeri ke Kelantan adalah atas kebenaran PJJ bagi negeri yang berada dalam Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Iklan
Iklan

"Menerusi sekatan jalan raya (SJR) di Kilometer 9 Sungai Lebay kita dapati terdapat sedikit peningkatan jumlah pengguna jalan raya antara satu ke dua peratus yang menggunakan JRTB di Gerik.

"Namun, semuanya mempunyai kelulusan pergerakan termasuklah bagi PJJ iaitu perjalanan kenderaan dari Pulau Pinang, Perak dan Perlis yang menuju ke Kelantan," katanya ketika dihubungi pemberita di sini pada Sabtu.

Iklan

Menurutnya, bagi kenderaan-kenderaan yang bergerak atas urusan ekonomi turut mempunyai kebenaran Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan agensi kerajaan berkaitan.

"Sebahagiannya pula pengguna jalan raya bergerak atas urusan janji temu hospital serta vaksinasi," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Kenderaan dari utara masuk Kelantan meningkat lima peratus

Begitupun beliau berkata, polis Perak terus mengetatkan pemantauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan pemeriksaan lebih rapi di setiap SJR.

Iklan

Katanya, ini termasuklah mengenakan tindakan kompaun dan mengarahkan kenderaan berpatah balik sekiranya pengguna jalan raya gagal membuktikan surat kebenaran pergerakan.

"Setakat ini aliran trafik dalam keadaan terkawal dan pemerhatian yang dilakukan oleh petugas-petugas SJR mendapati jumlah kenderaan yang memasuki negeri Perak tidak menunjukkan peningkatan yang ketara," katanya.

JRTB sepanjang 123 kilometer yang dibuka kepada umum sejak 1982 itu merupakan laluan utama yang menghubungkan kawasan barat dengan kawasan timur Semenanjung Malaysia membabitkan Perak, Kelantan dan Kedah.

Dalam pada itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Perak, Superintenden Azizan Hassan berkata, tiada kesesakan luar biasa dikesan di semua lebuh raya, jalan Persekutuan dan jalan negeri serta bandaran setakat ini.

Menurutnya, aliran trafik dijangka kekal normal tanpa pertambahan jumlah kenderaan memandangkan semua SJR di sempadan daerah dan negeri telah diperketatkan sempena perayaan Aidiladha ini.

"Team Pemantauan Lalu lintas JSPT Perak telah melakukan rondaan dan persediaan bantuan kawalan lalu lintas (Jammed Skuad) di seluruh negeri bermula semalam (Jumaat).

"Aliran Trafik didapati masih di skala 1, baik di jalan Persekutuan atau negeri atau di lebuh raya WCE (Lebuhraya Persisiran Pantai Barat) dan PLUS (Lebuhraya Utara Selatan), masing-masing tidak menunjukkan peningkatan aliran kenderaan yang ketara," katanya.