Penduduk Taman Sri Andalas lakukan sanitasi

Iklan
Penduduk Taman Sri Andalas mengambil inisiatif melaksanakan sanitasi susulan kebimbangan dengan kewujudan CAC, di sini.

KLANG - Penduduk Taman Sri Andalas mengambil inisiatif melakukan proses sanitasi di sekitar kawasan berkenaan susulan kebimbangan mereka terhadap penularan wabak Covid-19, di sini.

Wakil penduduk Pangsapuri Taman Sri Andalas, Mohd Shahrin Mohd Tamin berkata, langkah bagi melaksanakan sanitasi itu adalah susulan kewujudan Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) tidak jauh dari kawasan itu baru-baru ini.

Iklan
Iklan

Sehubungan itu, pihaknya dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) dan syarikat korporat mengambil langkah berjaga-jaga dengan melakukan sanitasi di sekitar pusat komersial dan pangsapuri berkenaan.

"Kami bimbang berlaku jangkitan dalam komuniti susulan kewujudan CAC ini dan disebabkan itu langkah berjaga-jaga perlu diambil," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Iklan

Penduduk Taman Sri Andalas sebelum ini membantah keputusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mewujudkan CAC di Dewan Sukan Klang yang terletak berhampiran lokasi perumahan mereka.

Berikutan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni pada Selasa berkata, keputusan untuk memindahkan CAC berkenaan hanya akan diketahui dalam tempoh dua minggu lagi.

Iklan

Beliau berkata, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Klang sedang mempertimbangkan beberapa perkara sebelum membuat sebarang keputusan berdasarkan mesyuarat yang diadakan di PKD Klang pada Isnin.

Hadir sama dalam program itu adalah Pengerusi Penduduk Fasa 7 Seri Mersing Taman Sri Andalas, Saijan Sikon, Pengerusi 99 Kesan, Muhd. Ali Zakariah dan wakil Prima World Development Sdn Bhd, Dr Cheong Wi-Liam.

Sementara itu, Saijan berkata, pihaknya berharap agar CAC berkenaan dapat dipindah segera sebagaimana yang dijanjikan sebelum ini.

"Kami memahami bukan mudah untuk memindahkan CAC itu namun harapan kita agar ia dapat dilaksanakn segera," katanya.

Tambahnya, pihaknya juga berharap agar proses sanitasi itu dapat diteruskan secara berkala sehingga CAC berkenaan dipindahkan.