BATU PAHAT- Seramai 12 sekeluarga bukan sekadar hilang tempat tinggal, bahkan dua buah kereta dan tiga motosikal milik mereka turut musnah dalam kejadian kebakaran di Kampung Parit Pulai, Yong Peng pada petang Sabtu.
Lebih memilukan, salah seorang mangsa iaitu Mislan Osmin, 49, melecur di bahagian kaki ketika cuba menyelamatkan diri.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Yong Peng, Penolong Penguasa Bomba Othman Mohd Baher berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.02 petang, sebelum 25 anggota dari BBP Yong Peng dan Penggaram dikejarkan ke lokasi kejadian.
"Setibanya di lokasi, kita dapati sebuah rumah sedang marak terbakar manakala dua kereta dan tiga motosikal turut terbakar, namun salah sebuah motosikal berjaya diselamatkan.
"Kita difahamkan semasa kejadian, pemilik rumah dan 11 ahli keluarganya yang lain berada di ruang tengah dan dapur, namun mereka menyedari berlaku kebakaran di bahagian ruang tamu.
"Pemilik rumah iaitu Mislan telah mengarahkan ahli keluarganya untuk keluar, namun dia mengalami kecederaan melecur di bahagian kaki kanan ketika cuba menyelamatkan diri,” katanya.
Jelas Othman, bomba memadamkan kebakaran menggunakan sumber air daripada jentera dan sumber air terbuka bagi memadamkan kebakaran.
Bagaimanapun katanya, kediaman itu terbakar 90 peratus dan punca kejadian serta nilai kerugian masih dalam siasatan.
Mangsa yang cedera juga diberikan rawatan awal oleh pihak bomba, sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 5.07 petang.