Pincangnya tanggapan tentang negara gagal: Tengku Zafrul

Iklan

LABUAN hari ini melonjak di kacamata nasional kerana kejayaannya memerangi varian Delta.

Sebelum ini, Labuan telah diklasifikasi sebagai zon merah dengan kadar kes harian yang semakin meninggi sehingga pada satu ketika, kadar R-Naught wilayah tersebut dikatakan telah melangkaui 2.4 lebih tinggi dari paras kebangsaan.

Iklan
Iklan

Pasukan Jawatankuasa Pengurusan Bencana di Labuan telah bergegas merangka strategi melawan gelombang terbaharu ini dengan gandingan Jabatan Kesihatan Negeri dan Kementerian Wilayah Persekutuan.

Langkah-langkah yang efektif dikenal pasti dan dilaksanakan dengan sepadu dan cekap. Hari ini, Labuan telah berjaya dikeluarkan dari zon merah dan menjadi panduan untuk kita menangani varian Delta yang lebih berbahaya dan agresif.

Iklan

Krisis sebegini sememangnya menduga kemampuan fikiran, kebolehan perlaksanaan dan ketahanan sesuatu masyarakat.

Sejak 16 bulan lalu, dunia telah mengalami satu musibah pandemik global berbahaya, mengancam nyawa dan kehidupan dengan penguncupan ekonomi global paling teruk sejak Perang Dunia Ke-2 dan Malaysia tidak terkecuali daripada impak ini.

Iklan

Tahun lalu, kita berjaya melangkah ke depan dengan pelbagai strategi ekonomi dan kesihatan awam. Tahun ini gelombang terbaharu varian Delta yang lebih agresif telah menimbulkan cabaran baru bagi kita.

United Kingdom, dengan 67 juta penduduk, minggu ini menyaksikan kadar jangkitan meningkat lebih 50,000 kes harian manakala Netherlands dengan populasi hanya 17 juta, minggu ini mencatatkan lebih 11,000 kes harian sehari.

Jika ada yang melemparkan cemuhan, mengatakan Malaysia adalah ‘negara gagal’–merujuk hanya sekali imbas terhadap kesukaran yang melanda perniagaan, isi rumah dan individu berserta kerajaan yang bertungkus-lumus dalam keadaan politik yang tidak sempurna, maka sama boleh diperkatakan tentang kebanyakan negara di dunia yang sedang bergelut dengan gelombang Covid-19.

Kerajaan dan jentera birokrasi tidak asing daripada kepincangan dan jauh dari sempurna, namun Labuan saya angkat sebagai contoh apabila terdapat gandingan sepadu antara kerajaan Pusat dan pelaksanaan di peringkat tempatan. Hasilnya, dari merah berubah hijau, dari sakit berubah sembuh serta dari bahaya berubah selamat.

Pepatah tradisi katakan, ‘Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat’. Maka dengan akal dan pemikiran sebegitulah, saya sering ingatkan pasukan sekretariat

Pelan Pemulihan Negara di bawah Kementerian Kewangan untuk mengambil pendekatan inklusif dalam kita melaksanakan PPN.

Tengku Zafrul

Dalam perkembangan terbaharu pada 16 Julai, kerajaan telah bersetuju agar JKKPPN menggantikan Majlis Pemulihan Negara (MPN). Antara keputusan yang dipersetujui oleh MPN adalah untuk memastikan PPN melibatkan penyertaan dari pakar-pakar, pertubuhan NGO dan wakil-wakil dari industri.

MPN juga akan memperjelaskan SOP dan mengesyorkan kelonggaran sektor dan aktiviti yang bersesuaian untuk pertimbangan MKN. Kejayaan PPN bergantung kepada pendekatan ‘keseluruhan negara’ kerana tiada kerajaan di dunia yang mampu melakukannya sendiri.

Semua pihak sama ada kerajaan Pusat, kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT), sektor swasta, NGO dan segala lapisan rakyat perlu memainkan peranan memastikan negara bergerak ke arah pemulihan.

Berbalik kepada kemampuan negara mengharungi pandemik ini, saya kemukakan beberapa fakta untuk renungan:

Ekonomi Terus Terpelihara Demi Melawan Ancaman Pandemik; Ekonomi perlu terus dipelihara kerana ia menjamin negara terus mempunyai sumber dan kemampuan meneruskan perang melawan Covid-19.

Baharu bulan lalu, agensi penarafan antarabangsa seperti S&P dan juga Moody’s masing-masing telah memberikan penarafan A- and A3 kepada Malaysia. Penarafan sebegini bukanlah calang-calang diberikan, jauh sekali kepada sesuatu negara yang dianggap ‘gagal’.

Asas ekonomi negara masih teguh walaupun impak Covid-19 telah menggasak perdagangan domestik dan antarabangsa. Prospek pertumbuhan Malaysia pada jangka masa sederhana masih cerah, pasaran-pasaran modalnya masih utuh, sektor kewangan negara miliki kecairan dan modal penampan yang mendalam.

Kerajaan setakat ini telah memperkenalkan Lapan pakej stimulus dan bantuan rakyat, keseluruhannya bernilai lebih RM530 bilion demi menyokong ekonomi, rakyat dan perniagaan.

Pakej-pakej inilah yang telah membela nasib lebih 1 juta perniagaan mikro dan PKS, memelihara lebih 2.7 juta pekerja dari dihentikan pekerjaan, memberi bantuan tunai langsung kepada 10 juta individu dan keluarga, menyalurkan bantuan makanan kepada lebih sejuta penerima dalam kalangan golongan pendapatan rendah malah meyakinkan industri perbankan untuk melaksanakan moratorium pinjaman enam bulan, menjadikan kita negara pertama di dunia melaksanakan moratorium sebegini, bukan hanya sekali pada tahun 2020, malah diulangi pula pada tahun 2021 ini.

Sudah tentu, ada di antara 32 juta rakyat kita yang tercicir daripada mendapat pertolongan seperti bantuan makanan. Menyedari perkara inilah kerajaan memberikan RM300,000 kepada setiap ahli Parlimen, tanpa mengira parti, untuk membantu golongan rentan dan yang memerlukan di kawasan masing-masing.

Di perbatasan kesihatan pula, saya ingin kemukakan beberapa fakta:

Kadar Vaksinasi – Meningkatkan Usaha Secara Pantas dan Efektif; Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaaan (PICK) telah mengatasi sasaran awal 300,000 dos dan kini mencecah angka 400,000 dos sehari.

Berdasarkan statistik, Malaysia berada di antara 10 negara paling tinggi kadar vaksinasi harian di dunia. Analisis terkini menunjukkan Malaysia mampu mencapai 75 peratus imunisasi penduduknya dalam masa tiga hingga empat bulan.

Sejak awal PICK dilaksanakan, kerajaan dengan pantas membuka PPV di seluruh pelusuk negara. Dalam masa beberapa minggu sahaja, jumlah PPV melonjak naik kepada hampir 300.

Bagi terus menyokong sasaran PICK, Kerajaan telah meluluskan tambahan RM200 juta untuk menaikkan kadar elaun bagi sukarelawan yang bekerja lebih masa dan Pusat Pemberian Vaksinasi (PPV) kini dibuka tujuh hari seminggu.

Seperti Labuan, PICK adalah satu lagi contoh pencapaian yang dapat kita raih jika ada komitmen dan sokongan dari semua pihak.

Kadar Jangkitan & Ujian Saringan Covid-19:

Kadar kes harian yang meningkat sememangnya adalah membimbangkan, namun seperti yang banyak dilaporkan di media, varian Delta Plus yang menular dalam masyarakat adalah jauh lebih berbahaya dan agresif berbanding virus asal.

Kadar kes harian yang tinggi ini juga harus mengambil kira yang ujian Covid-19 kini semakin giat dijalankan menyebabkan lebih banyak kes dapat dikesan.

Virus ini sudah merebak dalam komuniti secara rawak dan kes sporadik menyumbang kepada hampir 80 peratus kes harian. Justeru, laporan angka kes harian yang meningkat juga didorong hasil dari kadar ujian yang dipertingkatkan.

Jelas hari ini, kadar saringan yang dilakukan Malaysia pada skala setiap sejuta penduduk adalah antara lima hingga 10 kali lebih tinggi berbanding Thailand, Filipina dan Indonesia.

Baru-baru ini, Ketua Pengarah Kesihatan telah meyakinkan kita bahawa PKP akan menampakkan hasil dalam masa terdekat dengan menurunkan angka kadar jangkitan.

Tambahan pula, YB Khairy Jamaluddin Abu Bakar telah memberi pencerahan data yang menunjukkan kadar kematian dan penghospitalan pesakit akan menurun apabila vaksinasi mencapai 30 hingga 40 peratus penduduk. Ini satu sasaran yang semakin dalam jangkauan negara.

Harus diingat, apa yang penting adalah tahap keseriusan jangkitan. Jika kita dilihat kepada statistik pada 16 Julai, dari 12,541 kes, hampir 99 peratus adalah kes Kategori 1 dan 2, iaitu sama ada tiada gejala atau bergejala ringan.

Dengan peningkatan vaksinasi, terutamanya dengan pelancaran Operation Surge Capacity yang menyasarkan semua penduduk dewasa Kuala Lumpur dan Selangor berjumlah 6.1 juta menerima vaksinasi dos pertama menjelang 1 Ogos 2021, jumlah kes serius dijangka terus menurun sekaligus mengurangkan beban ke atas sistem kesihatan awam.

Sememangnya, tiada langkah kerajaan mahupun pentadbiran yang seratus-peratus sempurna. Setiap negara yang memerangi Covid-19 akan menghadapi cabarannya tersendiri. Begitu juga dengan kita hari ini, negara perlu menangani cabaran-cabaran yang tersendiri dalam mengimbangi nyawa dan rezeki rakyat.

Di sinilah PPN memainkan peranan dengan menzahirkan satu panduan jelas buat rakyat dan industri melangkah ke hadapan.

Pernah saya katakan sebelum ini, dan menjelang PPN ini, saya ulangi: kegagalan bukanlah pilihan kita, tidak dulu dan pastinya tidak kini. Teguh kita, maka menanglah rakyat Malaysia bersama. Insya-ALLAH.

* Menteri Kewangan merangkap Menteri Penyelaras Pelan Pemulihan Negara, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz