Kelantan United mula bentuk persefahaman

Iklan
Peningkatan prestasi pemain diukur pada perlawanan Khamis lalu. FOTO: FB Kelantan United Football Club

PENINGKATAN prestasi ditampilkan barisan pemain Kelantan United menjelang sepak mula pusingan kedua Liga Premier 2021 yang dijadual berlangsung 24 Julai ini, memberi kelegaan buat ketua jurulatihnya Nazrulerwan Makmor.

Nazrulerwan berkata, peningkatan prestasi anak buahnya itu diukur pada perlawanan pemanas badan Khamis lalu bertemu kelab Liga Super, Penang FC.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, meskipun pada aksi tersebut Kelantan United kalah tipis 1-2, ia bukan ukuran sebenar kemampuan pemain.

"Mereka (pemain Kelantan United) pertama kali turun selepas hampir tiga bulan tidak beraksi dalam perlawanan kompetitif, mereka menunjukkan mutu permainan sangat baik ketika berdepan Penang FC.

Iklan

"Secara keseluruhan semua pemain termasuk empat muka baharu yang dibawa masuk pada perpindahan kedua tempoh hari memperlihatkan perkembangan positif," katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Kelantan United akan menentang PDRM FC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur pada 25 Julai ini.

Iklan

Mengulas lanjut, Nazrulerwan berkata beliau melihat tahap kecergasan serta komunikasi pemain juga semakin baik dan berharap mampu diterjemahkan pada perlawanan nanti.

"Keputusan perlawanan ujian tidak menjadi ukuran, yang penting kecergasan dan keserasian pemain. Kita mahu menyiapkan Kelantan United dan memberi fokus pada pertembungan Liga Premier nanti kerana di situlah matlamat utama pasukan," katanya.

Katanya, walaupun menunjukkan perkembangan yang baik, masih ada beberapa kelemahan perlu mereka perbaiki sebelum turun beraksi.

"Jurulatih akan cuba atasi sebaik mungkin dengan masa yang ada. Kita perbaiki dan lihat pada perlawanan ujian kedua menentang Terengganu FC, esok di tempat lawan," katanya.