Ops rabies Sarawak dilancar 1 Mac

Iklan

KUCHING - Kerajaan Negeri kini bersiap sedia untuk melancarkan"Ops Rabies Sarawak” mulai 1 Mac ini bagi memerangi wabak rabies atau penyakit anjing gila.

Ops Rabies Sarawak adalah projek perintis dalam usaha membanteras Rabies setelah wabak itu diisytiharkan sebagai Bencana Tahap II dan berlaku melebihi dari satu daerah di Sarawak.

Iklan
Iklan

Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, operasi yang bermula di daerah Lundu dan Bau akan diketuai oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) selaku Komender Operasi.

"Operasi kali ini kita menyasarkan untuk vaksinkan 100 peratus anjing di kawasan itu dan menangkap anjing liar yang berkeliaran dengan bantuan beberapa agensi yang terlibat.

Iklan

"Sudah tiba masanya kita memerangi wabak rabies ini secara berhabis-habisan, setelah operasi pertama ini berjaya nanti, kita akan beralih ke daerah yang lain,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Operasi Pembanterasan Rabies di Wisma Bapa Malaysia di sini, hari ini.

Beliau, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak, juga mahu ketua kampung serta penduduk di kawasan berkenaan memberi kerjasama sepanjang operasi itu.

Iklan

"Pastikan anjing pelihara disimpan di dalam kawasan atau rumah masing-masing bagi membolehkan pihak berkuasa mengenal pasti anjing liar yang berkeliaran di kawasan itu dapat ditangkap.

"Pemilik anjing juga tidak dibenarkan untuk membawa keluar anjing pelihara daripada kawasan operasi.” katanya.

Setakat ini, 80 peratus anjing di daerah Lundu dan Bau telah divaksinasikan, manakala jumlah kesuluruhan anjing yang telah divaksinkan di seluruh Sarawak adalah 121,141 anjing.

"Kita mahu menyasarkan sekurang-kurangnya 70 peratus anjing di seluruh Sarawak ini divaksinkan agar Sarawak bebas daripada wabak rabies,” katanya.

Setakat Februari ini, 27 kes yang melibatkan anjing positif Rrabies telah dicatatkan, Sarikei, Miri, Siburan masing-masing dua kes, Kuching (11 kes), Bau , Samarahan, Bintulu masing-masing tiga kes dan Simunjan satu kes.

Antara agensi yang turut terlibat dalam Ops Rabies Sarawak yang beroperasi selama 10 hari itu adalah, Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak dan Jabatan Hutan Sarawak.- Bernama