KARAKTER dimiliki jaguh berbasikal negara, Azizulhasni Awang diyakini mampu memacu kontinjen 30 (K30) atlet negara dalam saingan Sukan Olimpik Tokyo 2020 untuk memadamkan episod duka semasa edisi Rio pada 2016 lalu.
Malah menurut legenda badminton negara, Datuk Seri Jalani Sidek, jaguh berbasikal berusia 33 tahun bergelar The Pocket Rocketman dilihat sebagai karakter utama yang merealisasikan hasrat kilauan emas pertama negara pada ketika ini.
"Andai kita tengok karakter Azizulhasni, saya yakin dia mampu mencipta impak lebih positif pada temasya kali ini kerana dia memiliki karakter a fighter sama seperti Datuk Lee Chong Wei seperti dibuktikan pada edisi Rio 2016 sebelum ini.
"Sejujurnya menerusi pengamatan saya sebagai bekas atlet, Azizulhasni memiliki karakter yang tidak mudah mengaku kalah jadi inilah elemen paling penting apabila bertarung dalam temasya besar seperti ini.
"Saya percaya karakter dimiliki Azizulhasni mampu menjentik semangat juang atlet K30 lain dalam memberikan aksi terbaik dalam setiap pertandingan disertai masing-masing," katanya kepada Sukan Sinar pada Jumaat.
Edisi Tokyo 2020 yang bakal menyingkap tirai 23 Julai ini disifatkan sebagai edisi Sukan Olimpik norma baharu yang penuh cabaran dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dalam usaha kerajaan Jepun memutuskan rantaian pandemik Covid-19.
K30 negara bakal diketuai dua pembawa Jalur Gemilang, iaitu jaguh badminton perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia dan pemain beregu campuran, Goh Liu Ying.
Mengulas lanjut Jalani berkata, dua lagi sukan yang menjadi sandaran pingat negara di Tokyo 2020 juga perlu lebih berwaspada dengan ancaman pencabar utama China yang kekal berahsia sepanjang melakukan persiapan ke Jepun.
"Untuk badminton sudah tentu saya dan komuniti badminton mengharapkan pemain-pemain negara akan mempamerkan aksi lebih baik lagi dari edisi Rio 2016 sebelum ini, dengan Zii Jia menjadi sandaran meneruskan aura positif seperti ketika di Kejuaraan Seluruh England lalu.
"Untuk Chan Peng Soon-Liu Ying, pengalaman di Rio 2016 lalu akan menjadi taruhan berguna, namun dengan situasi norma baharu di Tokyo 2020 mereka perlu bekerja lebih keras lagi di sebalik peluang untuk kem badminton membawa pulang pingat tetap cerah.
"Bagi terjun, kematangan Pandelela Rinong yang pernah menyertai pertandingan berintensiti tinggi dan menghasilkan keputusan positif buat negara," katanya.
Ditanya sama ada sukan lain mampu menghadirkan keputusan positif, Jalani percaya setiap atlet K30 negara mampu mencipta kejutan masing-masing dalam edisi Tokyo 2020 norma baharu pada kali ini dengan syarat mempunyai mentaliti menang dalam diri masing-masing.
"Tokyo 2020 kali ini tidak seperti edisi Rio 2016, London 2012 dan lain-lain kerana persiapan setiap negara penuh misteri tambahan pula semua pihak sedang dalam tempoh masa memerangi pandemik Covid-19.
"Namun, saya percaya ke semua atlet negara yang layak secara merit atau wild card, masing-masing mempunyai kelebihan dan kekuatan tersendiri untuk membuktikan sesuatu demi nusa dan bangsa pada temasya lima tahun sekali ini.
"Tokyo 2020 norma baharu ini sebenarnya menyediakan peluang yang seimbang sama rata untuk semua atlet melakar kejayaan berikutan pelbagai kekangan sebelum ini, namun apa yang penting adalah setiap atlet perlu melakukan homework mengenai lawan masing-masing sebelum pertandingan, selain memastikan kesihatan dan prestasi sentiasa berada pada tahap terbaik," katanya.
Pada masa sama Jalani menasihati atlet negara untuk lebih bijak mengawal emosi masing-masing dalam mengharungi temasya sukan terbesar dunia yang luar biasa pada kali ini.
"Saya percaya atlet negara akan diuji dengan pelbagai cabaran pematuhan SOP yang ketat dan penuh disiplin oleh penganjur Tokyo 2020, selain cabaran berdepan atlet negara lain semasa hari pertandingan masing-masing.
"Namun dalam hal ini, mentaliti setiap atlet negara kena kuat dan perlu hadam situasi begini, atlet negara lain pun berdepan situasi sama. Jangan jadi alasan kekangan SOP ini menyebabkan kita tidak boleh perfom di Tokyo," katanya.