KUALA LUMPUR - Polis menahan 28 individu termasuk dua wanita warga Indonesia yang leka menyambut majlis hari jadi dengan membawa dadah di sebuah unit residensi di sini pada Ahad.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, pihaknya menahan 16 lelaki dan 12 wanita berusia 21 hingga 49 tahun dalam serbuan pada jam 12.50 tengah malam.
"Kita turut merampas beberapa paket dadah disyaki ketamin.
Kita akan menjalankan ujian saringan air kencing ke atas kesemua suspek," katanya ketika ditemui di lokasi serbuan pada Ahad.
Beliau berkata, polis akan mengeluarkan kompaun terhadap pemilik dan ejen rumah berkenaan.
"Bilik residensi itu disewa dengan harga RM300 satu malam.
Pengunjung yang hadir dalam kalangan rakan-rakan salah seorang suspek yang ditahan.
Mereka dipanggil menggunakan aplikasi WhatsApp," katanya.
Nasri berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 22 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
"Kes turut disiasat mengikut Sekyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15 (1)(a) akta yang sama," katanya.