ALOR SETAR - Semua operasi perkhidmatan feri penumpang milik syarikat Dragon Star Shipping Sdn Bhd digantung serta-merta sehingga hasil siasatan diperolehi susulan sebuah feri milik syarikat itu yang terbakar di Langkawi, semalam.
Exco Pengangkutan, Azman Nasrudin berkata, kerajaan negeri juga tidak teragak-agak mencadangkan kepada Kementerian Pengangkutan untuk menghentikan operasi syarikat terbabit sekiranya hasil siasatan mendapati terdapat pelanggaran syarat. Menurutnya, arahan penggantungan itu juga bagi membolehkan Jabatan Laut melakukan siasatan terperinci bagi mencari punca kebakaran yang dijangka diperoleh dalam masa tiga hingga empat hari.
"Jika wujud kecuaian atau kesalahan hasil daripada siasatan kelak, kita akan tamatkan operasi perkhidmatan syarikat itu. Ini kali kedua syarikat itu digantung operasinya, selepas feri miliknya terkandas di tengah laut, Oktober tahun lalu,” katanya pada sidang media, hari ini.
Hadir sama, ADUN Kuah, Mohd Firdaus Ahmad yang juga Exco Penerangan, Komunikasi dan Multimedia dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) serta Pegawai Jabatan Laut Langkawi, Ghadzali Ahmad.
Azman berkata, penilaian juga akan dilakukan sama ada syarikat terbabit mengikut prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
"Cadangan tamatkan perkhidmatan itu bergantung kepada laporan forensik agensi berkaitan, sama ada terdapat pelanggaran syarat atau tidak penuhi kriteria untuk berlayar. Syarikat itu dibenarkan kembali beroperasi setelah sebulan digantung selepas mereka patuhi syarat,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN:
Feri terbakar: Maklumat awal punca kebakaran dari bilik enjin
Penumpang berebut keluar selamatkan diri
Menurutnya, buat masa ini, lima feri milik syarikat itu tidak dibenarkan beroperasi.
"Saya akan bawa perkara ini untuk dibincangkan dalam Majlis Pengangkutan Negara 5 Mac depan agar dapat kita menambah baik perkhidmatan feri, kini terdapat lebih 40 feri beroperasi,” katanya.
Mengulas dakwaan penumpang jaket keselamatan tidak mencukupi semasa kejadian, Azman berkata, perkara itu tidak benar kerana semua jaket keselamatan diletakkan bawah tempat duduk penumpang.
"Feri berkapasiti 200 penumpang itu menyediakan jaket keselamatan mencukupi dan kemungkinan kerana panik, suasana menjadi kelam kabut. Laporan daripada penumpang yang dakwa terhidu bau asap, bau minyak dan sebagainya juga dimasukkan dalam siasatan,” katanya.
Azman berkata, kejadian tersebut tidak menjejaskan Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2019 yang berlangsung pada 26 hingga 30 Mac ini memandangkan insiden tersebut di luar jangkaan.
Semalam, sebuah feri membawa 52 penumpang dari Terminal Feri Kuah menuju ke Kuala Perlis terbakar pada jarak tiga kilometer dari pantai selepas bertolak kira-kira lima minit.
Sementara, Ghadzali berkata, feri Dragon Star 1 yang berusia 28 tahun itu berada dalam keadaan memuaskan sebelum dibenarkan berlepas pada jam 2.30 petang.
"Kita tidak menerima apa-apa makluman menyatakan feri itu berada dalam keadaan kurang memuaskan, berdasarkan dokumentasi dikemukakan kita menyokong pelepasan feri itu untuk berlayar,” katanya.
Menurutnya, feri berkenaan juga menjalani pemeriksaan pada Januari lalu dan dilaporkan dalam keadaan baik.
"Elakkan spekulasi, tunggu laporan akhir pasukan forensik dan agensi berkaitan tentang punca kebakaran feri itu,” katanya.
Ghadzali berkata, semua feri penumpang diwajibkan melakukan pemeriksaan berkala namun tidak ditetapkan tempoh had pemeriksaan dan kekerapan bergantung kepada keadaan feri berkenaan.
"Pemeriksaan itu bagi memastikan feri menepati piawaian Jabatan Laut dan layak untuk belayar. Ini kerana kebanyakan feri yang beroperasi di Langkawi berusia antara lima hingga 20 tahun,” katanya.