PEMAIN baharu AC Milan, Olivier Giroud sudah sedia untuk memacu kelabnya itu kembali menjadi gergasi Eropah dengan memenangi kejuaraan Liga Juara-Juara musim depan.
Menurutnya, Milan mempunyai banyak sejarah tersendiri dan kehadirannya boleh membantu kelab itu bersaing dan mencipta kejayaan di pentas tertinggi Eropah.
"Ketika saya masih muda, saya melihat kepada beberapa pemain legenda Milan seperti Jean-Pierre Papin, Andriy Shevchenko dan sudah tentu Paolo Maldini.
"Pasukan ini memastikan impian saya tercapai. Saya merupakan peminat Marco van Basten dan sudah tentu ramai pemain hebat telah bermain di kelab ini.
"Milan juga mempunyai sejarah besar di Eropah dan sebab itu saya mahu menyertai kelab ini. Selain itu, sudah tentu saya mahu bermain di pentas tertinggi Eropah, di Liga Juara-Juara dan saya harap mampu memenangi trofi bersama pasukan," katanya.
Giroud menyertai Milan daripada Chelsea selepas memeterai kontrak selama dua tahun dengan kelab gergasi Itali itu kini sedang dalam rangka memperkuatkan pasukan apabila bakal kembali beraksi di Liga Juara-Juara buat kali pertama sejak 2013-2014.
Pemain kelahiran Perancis itu memenangi Liga Juara-Juara dan Liga Europa bersama Chelsea sepanjang tiga tahun bersama The Blues dan berazam untuk turut membantu Milan mengecapi kejayaan yang sama.
"Saya rasa teruja kerana saya berpeluang memenangi piala dan bermain untuk kelab besar. Saya fikir Milan adalah kelab yang layak untuk bermain di peringkat tertinggi," katanya.
Selain berhasrat membantu Milan kembali ke zaman kegemilangan, Giroud juga mengakui teruja untuk bergandingan dengan Zlatan Ibrahimovic di jentera serangan pasukan itu.
"Saya rasa dia adalah contoh untuk pemain muda, dia adalah salah seorang penyerang terbaik di Serie A dan saya tidak sabar untuk bermain bersamanya
"Saya hanya mahu menang sesuatu dengan Milan dan dengan Zlatan. Segalanya akan menjadi baik untuk pasukan ini," katanya.