KLANG - Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang (HTAR) menafikan pesakit Covid-19 di jabatan kecemasan hospital berkenaan dikosongkan ketika lawatan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 13 Julai lalu.
Pengarah HTAR, Dr Zulkarnain Mohd Rawi berkata, proses pemindahan telah dilaksanakan sejak 9 Julai lalu dan perkara itu dapat dilihat melalui kemas kini di Facebook HTAR bertarikh 10 Julai bertajuk 'Kita Mesti Menang'.
Beliau berkata, hantaran tersebut menunjukkan petugas barisan hadapan bertungkus lumus mempersiapkan Kompleks Rawatan Harian (ACC) untuk menjadi wad sementara bagi merawat pesakit Covid-19.
"Justeru, adalah tidak masuk akal sekiranya ada pihak yang berterusan mendakwa HTAR sengaja mengosongkan jabatan kecemasan bagi memperlihatkan suasana yang elok kepada Perdana Menteri," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
ARTIKEL BERKAITAN: Perbuatan ’sorok bawah tilam' gagalkan strategi kerajaan
Beliau berkata, proses pemindahan tersebut merupakan pelan kontigensi dalam pengurusan bencana peringkat hospital apabila berlakunya kemasukan pesakit secara mendadak.
"Pelan kontigensi ini telah mula dilaksanakan pada 7 Julai lalu apabila melihat trend peningkatan kemasukan pesakit sejak awal bulan ini dan limpahan kemasukan pesakit memuncak pada 8 Julai lalu.
"Pelan ini telah digerakkan serta-merta dalam tempoh 24 jam dan katil-katil di hadapan jabatan kecemasan telah dapat diselesaikan," jelas beliau.
Pada 15 Julai lalu, Sinar Harian melaporkan kenyataan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Jalaluddin Alias yang mendakwa perbuatan menyorokkan situasi sebenar merupakan satu bentuk kegagalan berkomunikasi apabila hanya memaparkan yang terbaik kepada para pembuat dasar.