PUTATAN - [DIKEMAS KINI] Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 adalah sidang khas yang tertakluk kepada peraturan mesyuarat, jelas Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.
Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berkata, perbahasan dalam sidang berkenaan juga ditentukan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
"Sidang kali ini adalah sidang khas yang dipanggil Perdana Menteri, tentu ia tertakluk kepada peraturan mesyuarat dan perbahasan tertakluk kepada urusan mesyuarat yang ditentukan Perdana Menteri.
"Jadi Perdana Menteri meletakkan sidang khas kali ini untuk membincangkan beberapa perkara dan juga kementerian berkaitan pengurusan Covid-19," katanya kepada pemberita selepas meninjau jeti dan Pasar Nelayan Kampung Pasir Putih pada Ahad.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas ada pihak pembangkang tidak berpuas hati dengan sidang Parlimen bermula 26 Julai ini yang akan diadakan tanpa pembentangan usul.
Mengulas lanjut, beliau yang juga Ahli Parlimen Beluran berkata, terdapat sidang kedua dan ketiga akan menyusul selepas itu bagi memberi ruang kepada ahli Parlimen bersidang seperti biasa.
"Telah dijadualkan oleh kerajaan dan telah disiarkan akan ada dua sidang selepas itu yang memberi ruang sidang biasa.
"Akan beri ruang setiap ahli Parlimen untuk menyuarakan apa juga pandangan terhadap kerajaan dan ruang akan dibentangkan kerajaan dalam sidang kedua dan ketiga," katanya.