TANJUNG MALIM - Seorang wanita maut dalam kejadian langgar lari membabitkan sebuah basikal dan treler di Kilometer 104, Jalan Persekutuan dekat Slim River di sini pada Ahad.
Dalam kejadian jam 8.10 pagi itu, A Rajamah, 58, maut di tempat kejadian akibat terjatuh dari basikal ditunggangi selepas bergesel dengan kenderaan berat terbabit.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Perak, Superintenden Azizan Hassan berkata, ketika kejadian mangsa dalam perjalanan dari arah Behrang ke arah Sungkai.
Bagaimanapun menurutnya, tiba di persimpangan lampu isyarat berhampiran Balai Bomba dan Penyelamat Slim River, basikal mangsa bergesel dengan treler yang datang dari arah sama.
"Treler yang hendak masuk ke simpang kiri itu telah menggilis basikal ditunggangi mangsa mengakibatkan wanita itu terjatuh dan meninggal dunia di tempat kejadian.
"Pemandu treler itu tidak berhenti di lokasi kemalangan sebaliknya meneruskan perjalanan ke arah Besout," katanya ketika dihubungi pada Ahad.
Beliau berkata, usaha mengesan pemandu kenderaan berusia 39 tahun itu berjaya dibuat dan dia telah ditahan untuk siasatan lanjut.
Katanya, rakaman percakapan pemandu itu telah diambil bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.