PENGENDALI Arsenal, Mikel Arteta teruja dengan aksi hebat dipamerkan oleh pemain baharu The Gunners dari Portugal, Nuno Tavares pada aksi persahabatan pra musim dengan Rangers baru-baru ini.
Arteta menyifatkan debut pemain berusia 21 tahun itu nyata memberangsangkan apabila turut menjaringkan satu gol pada aksi persahabatan pra musim berkenaan.
"Dalam tempoh beberapa hari sahaja berada dengan kita, dia telah berjaya menjaringkan gol buat pasukan.
"Bagi saya, ia satu debut yang baik kerana dia telah mempamerkan kualitinya sebagai pemain yang baik kepada kita.
"Selain itu, dia juga memiliki bentuk fizikal serta kawalan bola yang baik. Tavares juga mudah membentuk persefahaman dengan rakan-rakan sepasukan dan bagi saya ia satu permulaan yang baik buat kita,” katanya.
Untuk rekod, Tavares menyamakan kedudukan pada minit ke-23 setelah Rangers menjaringkan gol pembukaan pada awal perlawanan.
Pemain Rangers, Cedric Itten kemudiannya menjaringkan gol kedua buat Rangers pada minit ke-75 sebelum Eddie Nketiah menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-83 untuk kedua-dua pasukan terpaksa berpuas hati terikat 2-2.
Sekali gus mengelakkan Arsenal tewas dua kali berturut-turut pada aksi persahabatan pra musim setelah tewas 1-2 kepada kelab Scotland, Hibernian, minggu lalu.
Sementara itu Tavares mengakui gembira berada di Emirates dan tidak sabar untuk beraksi di depan penyokong The Gunners nanti.
Malah katanya, peluang beraksi dengan pemain-pemain terkemuka seperti juga dilihat sebagai suatu pencapaian yang hebat buat dirinya.
"Saya akui merasa seronok ketika berada di sini. Tambahan pula dapat beraksi dengan pemain-pemain (Pierre-Emerick) Aubameyang and (Alexandre) Lacazette.
"Saya juga sudah tidak sabar beraksi di hadapan penyokong di Emirates, nanti,” katanya.