Edar 3.8 tan sayur kepada 2,000 keluarga

Iklan
Sukarelawan menyiapkan bekalan sayur sebelum diedarkan kepada 2,000 keluarga di Tasek Gelugor dan Kepala Batas.

KEPALA BATAS - Sebanyak 3.8 tan sayur-sayuran diedarkan kepada lebih dari 2,000 penduduk di sekitar kawasan Tasek Gelugor dan Kepala Batas di sini, pada Ahad.

Pegawai Penyelaras Khas Ketua Menteri, Lay Hock Peng berkata, program itu bertujuan meringankan beban masyarakat yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sebanyak 22 Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) mengambil bahagian dalam program amal itu dan mengedar bekalan sayur di 13 kawasan di Tasek Gelugor serta sembilan kawasan di Kepala Batas.

"Melalui kerjasama Persatuan Pekebun Sayuran Pulau Pinang kita dapat memperoleh bekalan sayur-sayuran pada harga istimewa dari pekebun di Pinang Tunggal.

Iklan

"Selain itu, sumbangan 12,000 pelitup muka serta biskut daripada syarikat swasta juga amat kami hargai dan disertakan bersama ketika memberi sumbangan sayur-sayuran kepada penerima," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Khamis.

Hock Peng turut terharu dengan komitmen pasukan sukarelawan yang menghabiskan masa selama 10 jam untuk menyiapkan bekalan sayur-sayuran.

Iklan

Tambah beliau beberapa program bantuan lain sedang disusun termasuk akan mengedarkan 200 bakul makanan kepada warga emas dan golongan memerlukan sempena sambutan Hari Raya Aidiladha di kawasan Kepala Batas.