Tingkatkan pakej pelancongan Selangor

Iklan
Datuk Abdul Rashid Asari
SHAH ALAM - Kegagalan mempakejkan produk pelancongan di Selangor didakwa menjadi punca kurangnya kemasukan pelancong asing ke negeri ini.

Isu yang dibangkitkan Muhammad Hilman Idham (PKR-Gombak Setia) itu turut bertanyakan mengenai usaha Selangor menarik pelancong memandangkan negeri ini menjadi pintu masuk pelancongan.

Menjawab soalan itu, Exco Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan negeri, Datuk Abdul Rashid Asari berkata, pihaknya bekerjasama dengan 55 syarikat untuk mempromosikan pakej pelancongan negeri ini.

"Papan iklan akan dipasang di KLIA dan KLIA2 bagi mempromosikan lokasi pelancongan di Selangor selain mencadangkan kejohanan terbuka golf yang melibatkan pemain antarabangsa.

"Sebenarnya, pakej pelancongan terbaharu adalah mempromosikan sukan golf dan saya juga mencadangkan supaya Selangor Open Golf yang dihentikan 2014 lalu dianjurkan semula," katanya.

Mengulas lanjut mengenai produk pelancongan kesihatan, Adun Selat Klang itu menjelaskan, sebanyak 30 hospital kerajaan dan swasta sekitar Selangor berpotensi menjadi pakar penjagaan kesihatan antarabangsa.

"Kredibiliti dan kemudahan hospital di Selangor turut diiktiraf menjadi pilihan pelancong untuk mendapatkan rawatan.

"Lebih membanggakan, salah sebuah hospital diiktiraf peringkat dunia kerana sudah merawat hampir 500,000 pesakit dalam tempoh dua tahun dan 30,000 pesakit berkenaan dari 130 negara.

"Hal ini jelas terbukti bahawa pesakit antarabangsa memilih Selangor untuk mendapatkan rawatan dan pelbagai usaha dipertingkat untuk meningkatkan kecekapan perkhidmatan," katanya.