Cucu teruja suntik sendiri vaksin nenek

Iklan
Mohamad Burhan melengkapkan dos pertama suntikan vaksin terhadap neneknya, Fatimah di PPV UniSZA pada Ahad.

KUALA NERUS - Berpeluang menyuntik sendiri vaksin Covid-19 kepada neneknya yang berusia 102 tahun menjadi detik bersejarah buat seorang jururawat lelaki pada Ahad.

Mohamad Burhan Hasan, 31, melengkapkan dos pertama suntikan vaksin buat neneknya, Fatimah Muda, 102 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza) di sini.

Iklan
Iklan

"Saya rasa teruja dan berbesar hati kerana dapat lakukan sendiri suntikan vaksin terhadap nenek sendiri. Tarikh ini akan terus terpahat dalam memori dan tidak dapat dilupakan.

"Dalam masa yang sama saya berharap agar nenek akan sentiasa sihat serta dilindungi daripada jangkitan virus Covid-19," katanya ketika ditemui pemberita di PPV berkenaan pada Ahad.

Iklan

Menurut Burhan, neneknya bersetuju untuk divaksin selepas diberitahu mengenai kepentingan pengambilan suntikan itu oleh ahli keluarga.

Katanya, neneknya dibawa ke PPV itu dari kediaman di Kampung Kubang Tangga di Kuala Terengganu dengan menaiki ambulans.

Iklan

"Kebetulan ahli keluarga ada yang berkhidmat dalam bidang perubatan, jadi lebih mudah untuk memberi kefahaman mengenai kepentingan suntikan vaksin kepadanya.

"Nenek saya juga faham perlu mengambil suntikan sebanyak dua kali,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamad Burhan berkata, neneknya bersetuju untuk divaksin dan tidak menunjukkan rasa takut untuk mengambil suntikan itu walaupun menghidapi penyakit kencing manis dan darah tinggi.

Setakat ini, Fatimah direkodkan sebagai individu tertua yang divaksin di PPV berkenaan.