BARISAN atlet negara semakin merasai bahang Sukan Olimpik Tokyo selepas kumpulan terbesar kontinjen negara ke temasya sukan berprestij itu menjejakkan kaki ke Perkampungan Olimpik di Tokyo pada Ahad.
Impak pandemik Covid-19 jelas memberikan atlet negara pengalaman berbeza berbanding edisi temasya sebelumnya, apabila mereka perlu melalui prosedur operasi standard (SOP) ketat sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita kira-kira 8 pagi tadi.
Menurut penerjun wanita negara, Nur Dhabitah Sabri, 22, setibanya di lapangan terbang, atlet negara perlu melengkapkan pelbagai borang serta melakukan saringan Covid-19 melalui ujian air liur sebelum menaiki bas yang disediakan untuk ke Perkampungan Olimpik.
"Saya gembira dan pada masa sama berasa letih mungkin disebabkan sudah lama tidak menaiki pesawat. Rasa letih itu juga mungkin disebabkan prosedur di Jepun yang banyak kertas kerja kena buat, jadi kami banyak berjalan di situ (lapangan terbang), daripada satu stesen ke stesen lain.
"Disebabkan penat, semua orang termasuk pegawai dan jurulatih tidur di dalam bas sepanjang perjalanan ke Perkampungan Sukan itu. Kami sampai di lapangan terbang sekitar 7 pagi (waktu Jepun) dan tiba di Perkampungan Sukan pada 12 tengah hari (waktu Jepun)," katanya ketika dihubungi Bernama.
PAda Sabtu, 40 individu termasuk 18 atlet terdiri daripada sukan renang, terjun, badminton, gimnastik dan memanah berlepas ke Tokyo dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) untuk menghadapi temasya sukan terbesar dunia bermula 23 Julai hingga 8 Ogos ini.
Ia sekali gus menjadi kumpulan terbesar kontinjen negara selepas empat atlet pelayaran yang diiringi tiga pegawai bertolak ke Tokyo pada 8 Julai dengan kumpulan ketiga terdiri daripada sukan berbasikal trek, olahraga dan golf dijangka berlepas pada 25 Julai.
Sementara itu, Nur Dhabitah berkata, kesemua atlet akan menjalani tempoh isolasi selama tiga hari, selain perlu menjalani ujian saringan Covid-19 sebelum dibenarkan bergerak 'bebas' dan bercampur dengan atlet dari negara lain di Perkampungan Olimpik.
"Kuarantin di sini masih lagi dibenarkan keluar dari bilik untuk pergi makan dan sebagainya, cumanya dipisahkan daripada mereka (atlet) yang telah lama sampai, yang baru sampai makan di tingkat berasingan. Hanya selepas tiga hari, dan jika semuanya berjalan lancar, baru boleh berjalan," jelasnya.
Sementara itu, berdasarkan perkongsian beberapa atlet negara di media sosial, keterujaan dan kegembiraan mereka berada di Perkampungan Olimpik nyata terserlah.
Antara atlet yang memuat naik video untuk berkongsi bersama peminat tanah air adalah gandingan pembawa Jalur Gemilang yang juga pemain badminton Lee Zii Jia dan Goh Liu Ying, Farah Ann Abdul Hadi (gimnastik) dan Pandelela Rinong Pamg (terjun).
Rata-rata mereka berkongsi reka bentuk dalaman serta hiasan bilik tidur dengan paling mencuri tumpuan adalah katil diperbuat daripada kadbod yang boleh dikitar semula, selain turut menunjukkan pemandangan yang memukau dari bilik tidur. - Bernama