SHAH ALAM - Ramai rakyat Malaysia akur Hari Raya Aidiladha tahun ini terpaksa disambut secara sederhana bagi mengawal penularan Covid-19.
Tinjauan Sinar Harian mendapati mereka menyambut baik prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan di bawah fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Suri rumah, Robiah Omar, 60, berkata, terdapat nilai murni yang diperoleh walaupun sambutan sederhana iaitu mengajar manusia untuk lebih berjimat cermat berbelanja dan mengelakkan pembaziran makanan.
"Sambutan tahun ini dalam keadaan sederhana berbanding tahun lepas. Memang sedih kerana anak saya yang berada di Lembah Klang tidak balik. Saudara-mara juga tidak boleh datang melawat.
"Negara masih berjuang melawan pandemik Covid-19. Kita kena membantu menyelesaikan masalah ini agar dapat menjalankan kegiatan harian seperti biasa dan berjumpa dengan orang yang tersayang,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Penjawat awam, Muhammad Faiz Othman, 24, berpendapat, kesederhanaan diraikan merupakan suatu perkara yang diajar dalam Islam.
Jelasnya, kesederhanaan itu memberikan ruang untuk berfikir secara matang mengenai sebuah kebahagiaan dalam kehidupan selain bersyukur atas kurniaan yang diberikan.
"Bagi menyambut Aidiladha, amalkan kesederhanaan dalam sambutan kemeriahan dalam penghayatan,” katanya.
Pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA), Muhammad Harith Hasmy, 24, berkata, dia terpaksa menyambut perayaan di kolej kediaman sahaja disebabkan bimbang risiko terhadap keluarga jika pulang ke kampung.
"Saya agak terkilan kerana tidak dapat pulang ke pangkuan keluarga bagi menyambut perayaan ini. Diharapkan bagi yang menyambut, patuh SOP agar kita semua dapat beraya seperti dahulu pada tahun akan datang,” katanya.
Suri rumah, Meriam Ahamad, 60, yang berasal dari Sabak Bernam berkata, perayaan itu bukan hanya sambutan semata-mata namun perlu dilihat pengajarannya iaitu pengorbanan ketika kita berusaha melawan penularan Covid-19.
"Perasaan untuk meraikan perayaan itu berbeza disebabkan terpaksa berjauhan dengan anak-anak.
"Suasana sambutannya tidaklah begitu meriah, tetapi saya masih menyambutnya dengan keluarga di rumah ini,” ujar Meriam.
Seorang penulis kandungan, Amiera Hanis Hussin, 23, pula menyokong usaha kerajaan mengetatkan SOP sambutan hari raya korban disebabkan peningkatan kes yang mendadak.
"Buat masa ini saya rasa kita kena sambut dalam keadaan sederhana. Tidak perlu kunjung-mengunjung lagi cukup sekadar sambut bersama isi rumah sahaja. Kita sebagai rakyat perlu patuh arahan pemerintah,” katanya.
Seorang lagi penulis, Ahmad Idzwan Arzmi, 24, turut mengingatkan agar SOP sentiasa dipatuhi kerana dikhuatiri wujud kluster baharu dalam pandemik Covid-19 ini.
"Biarlah kita tidak dapat pulang ke kampung, asalkan keluarga kita selamat. Saya juga terkesan akibat tidak dapat pulang ke kampung halaman. Kita semua perlu memandang serius akan kes-kes yang semakin pesat,” jelasnya.
Penjawat awam, Norulhuda Ramli, 51, berpendapat, walaupun sambutan sederhana namun yang penting ibadah dapat dilakukan dengan baik dan sempurna.
"Kita kena ambil iktibar dari pengorbanan Nabi Ibrahim, berkorban sekarang demi kebaikan bersama akan datang. Kita pasti menang. Insya-ALLAH,” ujarnya.
ARTIKEL BERKAITAN: Ketupat tak laku, daging korban tak laris