RINGGIT meneruskan trend menurun minggu lepas untuk dibuka lemah pagi Isnin berbanding dolar AS kerana kekurangan minat belian berterusan dengan para pelabur masih bimbang terhadap lonjakan kes Covid-19, kata para peniaga.
Pada jam 10 pagi, unit tempatan itu susut kepada 4.2150/2160 berbanding dolar AS daripada 4.2040/2070 ketika ditutup pada Jumaat minggu lepas.
Seorang peniaga mengaitkan kelemahan ringgit itu kepada kebimbangan akan prospek ekonomi Malaysia ekoran jumlah kes baharu Covid-19 semakin tinggi.
"Harga minyak turut menyeret turun prestasi ringgit dengan penanda aras minyak mentah Brent jatuh 2.6 peratus minggu lepas dan diniagakan pada AS$73.59 setong pada Jumaat,” kata beliau.
Sementara itu, unit tempatan diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang utama yang lain.
Ringgit menyusut berbanding euro kepada 4.9750/9761 daripada 4.9687/9723 pada penutupan Jumaat dan lemah berbanding Yen Jepun kepada 3.8346/8359 daripada 3.8180/8207.
Bagaimanapun, ia mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.1027/1037 daripada 3.1053/1078 sebelumnya dan lebih tinggi berbanding pound Britain kepada 5.7977/7991 daripada 5.8129/8170. - Bernama