IPOH - Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Perak mempersoal tindakan kerajaan yang secara tiba-tiba mengumumkan Bantuan Pelajar Pendidikan Tinggi kepada 1.2 juta mahasiswa.
Presidennya, Hasnul Fairuz Hushin Amri berkata, pengumuman itu menimbulkan tanda tanya kerana bantuan tersebut lewat diumumkan sehingga memerlukan peruntukan tambahan kerajaan.
Beliau berkata, pengurangan jumlah bantuan itu dengan hanya RM100 itu juga perlu diperjelaskan kepada mahasiswa yang kini berdepan kos sara hidup tinggi.
"Kita hargai keputusan kerajaan dengan meluluskan bantuan tersebut melalui peruntukan tambahan sebanyak RM120 juta. Cuma mengapa bantuan ini diumum lewat sehingga memerlukan peruntukan tambahan?
"Adakah kementerian tidak bersedia sehingga perlu didesak baru nak umum? Menteri perlu turun berdepan dengan mahasiswa untuk memberikan penjelasan tentang perkara ini," katanya kepada Sinar Harian, hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: Kerajaan umum RM100 bantuan kepada semua penuntut IPT
Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai pengumuman Kementerian Kewangan terhadap bantuan itu yang diberikan bagi membantu mengurangkan beban kewangan pelajar di institusi pengajian tinggi (IPT).
Hasnul Fairuz berkata, bantuan RM100 itu sebenarnya tidak mencukupi sebaliknya bantuan lain perlu diusahakan seperti bantuan zakat, bantuan khas daripada institusi pengajian tinggi itu sendiri dan sebagainya.
Dalam pada itu, menurutnya, GPMS Perak menyambut baik langkah kerajaan memperkenalkan Program Bank Makanan di IPT kerana ia antara langkah terbaik untuk menangani kenaikan kos sara hidup mahasiswa.
"Kerajaan dan semua IPT juga perlu memikirkan kaedah untuk mengurangkan kos pengajian.
"Pembelajaran dan pengajaran di kampus perlulah selari dengan perkembangan global yang kini ke arah revolusi industri 4.0.
"Boleh mudahkan pelajar dengan bahan-bahan dari kaedah maya atau berkonsepkan e-learning," katanya.
Hasnul Fairuz berkata, selain dari itu infrastruktur kampus seperti jaringan pengangkutan perlu ditambah baik bagi mengurangkan kebergantungan pelajar menggunakan kenderaan sendiri.
Katanya, isu sara hidup mahasiswa perlu dilihat secara menyeluruh dan bukan sekadar duit poket semata-mata.