TERNYATA bahawa prestasi dua sukan popular negara iaitu bola sepak dan hoki semakin merosot apabila sekali lagi gagal untuk melayakkan diri ke pentas Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang akan bermula pada 23 Julai ini.
Skuad bola sepak negara atau lebih dikenali dengan gelaran popularnya Harimau Malaya, telah dua kali berjaya melayakkan ke Sukan Olimpik iaitu edisi Munich 1972 dan edisi Moscow 1980, namun memboikot Olimpik di Moscow.
Semasa edisi di Munich, Malaysia menduduki tempat ke-10 dalam kalangan 16 negara yang mengambil bahagian, setelah tewas 3-0 kepada Jerman Barat dan 6-0 kepada Maghribi, namun berjaya menewaskan Amerika Syarikat (AS) 3-0 untuk menduduki tempat ketiga dalam Kumpulan A.
Gol jaringan Shaharuddin Abdullah, Allahyarham Wan Zawawi Wan Yusof dan Allahyarham Salleh Ibrahim menentang AS, adalah sesuatu dihargai bagi penyokong setia Harimau Malaya.
Bekas kapten Harimau Malaya, Datuk Soh Chin Aun, yang pernah beraksi di Munich 1972 dan merupakan sebahagian daripada pasukan yang layak ke Moscow 1980, berharap pihak berkepentingan berusaha secara proaktif untuk memastikan Malaysia layak ke sukan berprestij itu dalam masa terdekat.
Tatkala, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menyasarkan slot ke Sukan Olimpik Paris pada 2024, bekas pemain pertahanan berusia 71 tahun itu berkata, keadaan menjadi semakin sukar bagi Malaysia untuk melayakkan diri kerana negara lain kini didapati semakin hebat.
"Sudah semestinya, beraksi di Olimpik adalah suatu pencapaian tertinggi dalam sukan. Bukan senang untuk ke Olimpik. Semoga mereka semua melakukan yang terbaik (namun mereka akan) dan perlu berusaha untuk layakkan diri.
"Bagi saya, kini menjadi semakin sukar untuk kita melayakkan diri, kerana pasukan dari Asia seperti Korea Selatan, Jepun dan negara-negara Arab, jauh lebih baik berbanding kita," kata Chin Aun, yang mesra digelar sebagai 'Tauke' dan terkenal dengan sikap kepimpinan yang bijak dan tegas sama ada di atas atau luar padang.
Legenda bola sepak kelahiran Melaka itu, mewakili Malaysia dari tahun 1969 hingga 1984 dan membimbing pasukan kebangsaan meraih pingat gangsa pada Sukan Asia 1974 di Tehran, Iran.
Pada Munich 1972, Chin Aun sebaris dengan beberapa pemain bola sepak terbaik Malaysia antaranya Allahyarham Namat Abdullah, M Chandran, V Krishnasamy, Wong Kam Fook, Wong Choon Wah, Harun Jusoh, Ali Bakar, Looi Loon Teik, Lim Fung Kee, dan Bahwandi Hiralal.
Walaupun bola sepak, iaitu sukan paling popular di Malaysia, hanya berjaya layak sebanyak dua kali ke Sukan Olimpik, namun sukan berpasukan kedua paling popular, iaitu hoki berjaya layak sebanyak sembilan kali ke temasya sukan terbesar dunia itu.
Malah, pasukan hoki lelaki kebangsaan berjaya tampil dalam empat edisi berturut-turut dari 1964 hingga 1976, dengan pencapaian terbaik mereka berada dua kali pada kedudukan kelapan iaitu di Munich 1972, membabitkan pertandingan 11 negara dan berjaya melayakkan di edisi Montreal empat tahun kemudian, dalam 16 pasukan yang mengambil bahagian, namun, bintang mereka telah merosot setelah kali terakhir layak ke Sydney 2000.
The Speedy Tigers, gelaran buat skuad hoki lelaki kebangsaan, sejak itu telah ketinggalan lima kali berturut-turut untuk menyertai edisi Sukan Olimpik.
Ketua Speedy Tigers edisi Sydney 2000, Datuk Mirnawan Nawawi mengakui bahawa beliau sedih melihat pelapisnya dalam pasukan kebangsaan sekali lagi gagal layak ke Olimpik, namun optimis bahawa pemain kebangsaan mempunyai semua kualiti untuk dipamerkan.
Namun Mirnawan, optimis bahawa barisan pemain yang ada kini mempunyai kemampuan untuk menamatkan kemarau penantian yang berpanjangan sekali gus layak ke edisi Paris 2024, namun menegaskan usaha keras perlu bermula dari sekarang.
"Tak guna kita kenang balik atau menangis mengenai peluang terlepas, tetapi harus belajar daripada pengalaman supaya kita layak ke edisi seterusnya. Selain perancangan yang rapi dan teliti, serta program yang baik, kita memerlukan pemain dengan mentaliti menjadi juara, yang laparkan kejayaan di kejohanan-kejohanan kelayakan dan pertandingan berperingkat tinggi.
"Dengan adanya sokongan daripada semua pihak dan kerja keras daripada pemain, kita mampu layak edisi Paris 2024. Anda bukan seorang pemain bertaraf antarabangsa yang sempurna sehingga anda beraksi di Olimpik," kata pembawa bendera kontinjen negara edisi Sydney 2000 itu.
Mirnawan, yang bermain untuk pasukan kebangsaan selama 14 tahun dari 1989 dan tampil dalam tiga Sukan Olimpik (1992, 1996, 2000) sebelum dilantik sebagai pengurus pasukan kebangsaan tahun lalu, mengakui bahawa impiannya adalah untuk melihat generasi pemain Malaysia yang lain layak ke Sukan Olimpik.