Defisit fiskal Malaysia dijangka meningkat

Iklan
Tengku Zafrul

KUALA LUMPUR - Defisit fiskal Malaysia dijangka meningkat antara 6.5 dan tujuh peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun ini berbanding enam peratus yang disasarkan sebelumnya, selepas mengambil kira pakej rangsangan yang diumumkan oleh kerajaan baru-baru ini.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, kerajaan bersedia memperluas ruang fiskal sekiranya perlu untuk menyokong ekonomi dan rakyat.

Iklan
Iklan

"Kami mengalami defisit yang akan mencecah tujuh peratus. Ini bukan mengenai ukuran defisit, ia lebih kepada kemampuan untuk meminjam dan saiz (jumlah) rizab.

"Walaupun Malaysia diberi penarafan A, dari segi rizab fiskal kami lebih kecil daripada negara-negara dengan penarafan A yang lain. Satu-satunya perbezaan ialah kami mempunyai prospek pertumbuhan yang kukuh,” katanya dalam wawancara eksklusif dengan South China Morning Post (SCMP).

Iklan

Menteri itu yang sebelum ini merupakan tokoh bank berkata negara mencatatkan defisit tertinggi pada tahun 2008-2009 (6.7 hingga 6.9 peratus).

Beliau berpendapat, apa yang paling penting akhirnya adalah sama ada negara memberikan sokongan yang mencukupi kepada rakyat.

Iklan

"Saya merasakan bantuan yang diberikan kerajaan, apabila dilihat pada kekangan fiskal yang kami ada, sudah memadai.

"Anda juga mesti lihat pada nisbah liputan perkhidmatan hutang kami dan juga pada kecairan atau mudah tunai institusi domestik hari ini," tegasnya.

Ketika ditanya adakah kempen bendera putih yang dimulakan oleh rakyat menunjukkan bahawa pakej rangsangan kerajaan tidak berjalan lancar, Tengku Zafrul menyatakan ia percaya itu bukan sebabnya.

"Kami telah menangani beberapa masalah itu dengan memastikan semua perwakilan terpilih diberi peruntukan untuk menyokong kawasan pilihan raya masing-masing.

"Malah, kerajaan telah melancarkan program makanan dan telah bersama semua lapisan masyarakat, termasuk badan bukan kerajaan dan juga pihak pembangkang.

"Keadaan sekarang amat mencabar dan anda mesti ingat bahawa ada segelintir masyarakat kami terutama golongan rentan yang masih memerlukan bantuan," katanya.

Menteri itu menambah bahawa kerajaan turut memasukkan suntikan fiskal langsung sebanyak RM10 bilion di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) yang bertujuan menyediakan bantuan menyeluruh kepada rakyat. - Bernama