POKOK SENA - Penyakit sawan dan masalah saraf yang dihadapi seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun sejak memerlukan perhatian penuh dan dijaga seperti seorang bayi.
Ibu kanak-kanak itu, Nurul Shuhada Zulkifl, 29, berkata, anaknya, Wan Nor Farisha hanya mampu terlantar selepas otaknya tidak berfungsi sekali gus memberikan kesan kepada anggota badan lain seperti telinga, mata dan jantung.
Menurutnya, anak kedua daripada empat beradik itu bergantung kepada susu khas sebagai makanan yang disalurkan menerusi tiub melalui hidungnya setiap empat jam selain bergantung kepada mesin penyedut kahak.
"Wan Nor Farisha mengalami penyakit sawan dan masalah saraf ini sejak berusia lima bulan lagi.
"Dia memerlukan susu khas bernilai RM166 satu tin dan memerlukan empat tin sebulan. Wan Nor Farisha perlu sentiasa berada dalam bilik yang berhawa dingin bagi mengelakkan diserang sawan.
"Pendingin hawa dipasang hampir 24 jam sehari namun jika cuaca tidak panas kami tidak memasangnya kerana mahu menjimatkan kos elektrik," katanya ketika menerima kunjungan Pengerusi Sahabat Charity Balqis (SCB), Rukiza Abu Bakar di rumah sewa di Kampung Bukit, Jalan Naka, dekat sini pada Ahad.
Nurul Shuhada berkata, pendapatan suaminya, Wan Muhamad Azlin, 33, yang bekerja di kilang beras kira-kira RM1,200
dan mereka perlu berjimat-cermat untuk kegunaan lain termasuk sewa rumah.
"Wan Nor Farisha memerlukan perbelanjaan kira-kira RM650. Kami bersyukur kerana dia mendapat bantuan bulanan RM500 dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan dibelanjakan sebaik mungkin untuk keperluannya termasuk lampin pakai buang," ujarnya.
Tambah Nurul Shuhada, mereka sekeluarga juga perlu menampung perbelanjaan tiga anaknya yang lain berusia lapan, enam dan setahun.
"Kadang-kadang kami tidak dapat menghantar Wan Nor Farisha untuk mendapatkan rawatan susulan berjumpa doktor pakar jantung dan genetik setiap tiga bulan di Hospital Pulau Pinang kerana masalah kewangan.
"Dia juga perlu diberikan vitamin khas termasuk empat jenis ubat sehari namun sekarang kami sudah berhenti beli vitamin kerana tidak mampu," katanya lagi.
Tambahnya, mereka kini sedang membina rumah sendiri berhampiran rumah ibunya di Kampung Bukit namun terbengkalai disebabkan oleh masalah kewangan.
"Jika kami dapat tinggal di rumah sendiri nanti, sekurang-kurangnya duit sewa ini boleh digunakan untuk perbelanjaan anak-anak namun sampai sekarang rumah yang mahu dibina tidak siap. Jika ada pihak yang dapat membantu, kami sangat bersyukur," ujarnya.
Orang ramai yang mahu membantu keluarga ini, boleh hubungi Nurul Shuhada menerusi nombor telefon 0199211496 atau menerusi akaun bank BSN suaminya, Wan Muhamad Azlin 1412841000028063.