TANJONG KARANG - Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Institut Pengurusan Peladang (IPP) Tanjong Karang tetap beroperasi semasa sambutan perayaan Aidiladha pada Selasa.
Pengarah Operasinya, Salbiah Saari berkata, seramai 1,600 individu yang menerima dos pertama dan kedua dijadualkan menerima vaksin pada hari berkenaan.
Iklan
Iklan
Bagaimanapun, katanya, waktu operasi PPV itu berubah dari jam 9 pagi hingga 5 petang pada kebiasaan kepada jam 10 pagi hingga 6 petang.
"PPV IPP Tanjong Karang akan beroperasi selama lapan jam seperti biasa tetapi dibuka lewat sedikit pada esok (Selasa) sempena Aidiladha ini," katanya.
Katanya, terdapat sedikit kelainan pada Selasa apabila petugas dan sukarelawan akan lengkap berpakaian hari raya sempena meraikan perayaan itu.
"Jika sebelum ini semua petugas berpakaian formal, tetapi esok kita ingin menceriakan suasana di PPV ini dengan mengenakan pakaian baju Melayu dan kurung," ujarnya.