KUALA LUMPUR - Semangat jaguh berbasikal trek Datuk Mohd Azizulhasni Awang kini semakin membara untuk mencipta sejarah membawa pulang pingat emas pertama Malaysia di Sukan Olimpik Tokyo yang akan membuka tirai pada 23 Julai hingga 8 Ogos.
Ia selepas juara dunia keirin 2017 itu mendapat motivasi tambahan menerusi penganugerahan Darjah Kebesaran Dato’ Paduka Mahkota Terengganu (DPMT) yang membawa gelaran Datuk.
Pelumba berusia 33 tahun yang terkenal dengan julukan ‘The Pocket Rocketman’ itu adalah antara enam individu termasuk Penagrah Kesihatan Negeri Terengganu Dr Nor Azimi Yunus yang dikurniakan darjah kebesaran oleh Sultan Terengganu Sultan Zainal Abidin pada Ahad.
"Pengurniaan ini sesungguhnya akan patik jadikan sebagai sumber motivasi untuk beraksi dengan cemerlang di temasya Sukan Olimpik Tokyo dan merealisasikan impian membawa pulang pingat emas pertama untuk Malaysia,” katanya menerusi ciapan di akaun Twitternya.
"Terima kasih kepada pihak Istana Negeri Terengganu dan juga Kerajaan Negeri Terengganu serta pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung. Saya berharap semua terus mendoakan kejayaan saya di Sukan Olimpik Tokyo nanti. Terima kasih semua,” katanya.
Mohd Azizulhasni bersama seorang lagi atlet berbasikal trek Muhammad Shah Firdaus Sahrom yang akan berlepas ke Tokyo pada 25 Julai ini, mengambil bahagian dalam acara keirin dan pecut individu bermula 4 Ogos ini.
Mohd Azizulhasni melakar sejarah tersendiri apabila menjadi atlet berbasikal trek pertama negara memenangi pingat di Olimpik selepas berjaya merangkul pingat gangsa dalam acara keirin pada Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro, Brazil. - Bernama
ARTIKEL BERKAITAN:Azizulhasni, lima doktor terima gelaran Datuk