KUALA LUMPUR - Kerajaan Negeri Kedah sedia menyalurkan bantuan kepada keluarga Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, anggota bomba yang cedera diserang perusuh di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya, Selasa lalu.
Menteri Besarnya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, kerajaan negeri sedia membantu apa juga keperluan dan bantuan yang diperlukan.
Menurutnya, dalam lawatan Sultan Kedah (Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah) semalam, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Bakar Din sudah menyerahkan bantuan.
"Namun apa juga keperluan lain daripada keluarga Muhammad Adib kerajaan sedia membantu,” katanya ketika ditemui selepas melawat Muhammad Adib di Institut Jantung Negara (IJN) di sini, hari ini.
Terdahulu, Mukhriz tiba di IJN pada jam 2.45 petang.
Beliau diiringi Ketua Pengarah Bomba, Datuk Mohammad Hamdan Wahid bersama beberapa pegawai bagi menziarahi Muhammad Adib.
Mengulas tentang keadaan mangsa, Mukhriz berkata, keadaan anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya itu kini dilihat bertambah baik dari hari sebelumnya.
"Saya berharap dia cepat sembuh dan kembali bertugas sebagai anggota Bomba," katanya.
Hari ini, IJN melaporkan Muhammad Adib telah mula sedar dan faham arahan yang diberikan.