SEGAMAT - Kesukaran yang dialami 250 pelajar daripada keluarga B40 di daerah ini untuk mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) mendapat perhatian Pertubuhan Kebajikan Jiwa Prihatian (PKJP) yang menyumbangkan telefon pintar.
Sumbangan itu adalah hasil kerjasama PJKP dengan Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) dan pengurusan sekolah di sekitar daerah ini agar telefon bimbit itu dapat diberikan terus kepada pelajar yang terjejas.
Pengerusi PJKP, Datuk Tan Lek Khang berkata, kerjasama dengan PIBG itu bagi memudahkan pihaknya mengenal pasti keluarga yang memerlukan bantuan gajet itu.
"Sebagai NGO (badan bukan kerajaan), kita perlu bekerjasama dengan pemegang taruh seperti PIBG dalam mengenal pasti pelajar yang terjejas dalam memastikan tiada pelajar tercicir ketika kita berdepan pandemik ini.
"PIBG sekolah akan melakukan kaji selidik dan mengenal pasti pelajar daripada keluarga B40 yang berdepan dengan masalah kekurangan gajet sebelum menyerahkan senarai kepada kami.
"Ada pelajar terpaksa berebut gajet yang diberikan ibu bapa namun tetap ketinggalan kerana pertembungan jadual antara adik beradik. Kita sedar kekurangan gajet untuk PdPR dalam kalangan B40 boleh mengakibatkan ada yang tercicir PdPR," katanya kepada pemberita.
Sebelum itu, beliau menyerahkan telefon pintar kepada 10 lagi pelajar daripada keluarga B40, hasil kerjasama dengan PIBG Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Cantuman Chaah dan beberapa sekolah lain.
Seorang ibu, M. Henmolie, 32, berkata, kekangan kewangan menyebabkan dua anaknya di darjah tiga dan darjah enam terpaksa bergilir menggunakan satu-satunya telefon bimbit yang dimilikinya untuk mengikut kelas PdPR.
"Suami saya kerja di kilang agak jauh dari rumah dan saya pula kerja di Chaah. Saya memang tinggalkan telefon pintar saya untuk digunakan kedua-dua anak saya belajar namun kerap jadual kelas mereka bertembung dan ini agak sukar buat mereka.
"Sumbangan telefon pintar ini amat diperlukan dan saya berterima kasih kepada Datuk Tan (Lek Khang) yang segera menyumbangkan gajet ini bagi pembelajaran anak-anak saya,” katanya.
Seorang bapa yang juga Orang Kurang Upaya (OKU), Sami Dass, 43, berkata, dengan adanya telefon pintar itu, ia akan dapat memastikan anaknya tidak terlepas kelas yang diadakan secara dalam talian.
"Keluarga kami hanya ada satu telefon pintar dan saya terpaksa gunakannya untuk bekerja. Apabila saya keluar bekerja, anak saya akan terlepas kelas kerana kami tidak mampu untuk membeli telefon baharu,” ujarnya.