Selangor sedia masuk ke fasa dua PPN akhir Ogos

Iklan
Amirudin ketika ditemu bual mengenai perkembangan wabak Covid-19 di Kediaman Menteri Besar Selangor Seksyen 7, Shah Alam. - Foto Bernama

SHAH ALAM - Kerajaan Selangor akan mempertingkatkan kadar vaksinasi sehingga 300,000 dos sehari menjelang hujung bulan ini dalam usaha menurunkan angka kes jangkitan Covid-19 seterusnya bersedia beralih ke fasa kedua atau fasa ketiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada akhir Ogos ini.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, hasil mesyuarat dengan Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin Abu Bakar pada Jumaat lepas, Selangor perlu meningkatkan dos vaksinasi kepada 272,000 dos daripada 165,000 dos sehari yang dipersetujui sebelum ini.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, jumlah itu hasil daripada pelaksanaan program Selangor Vaksin (Selvax), PICK dan Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (Pikas) yang dijalankan serentak di negeri ini.

"Melalui Selvax juga kita mampu tambah lagi 40,000 dos sehari, jadi saya rasa kita boleh capai lebih 270,000 ke 300,000 dos sehari," katanya pada Isnin.

Iklan

Beliau berkata, perkara itu selaras dengan usaha kerajaan persekutuan melalui Operasi Lonjakan Kapasiti yang dilaksanakan bagi memastikan penduduk dewasa di Kuala Lumpur dan Selangor menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19 menjelang 1 Ogos ini.

"Kalau semua dapat berjalan dengan betul, hujung Ogos saya rasa Selangor dah boleh masuk ke fasa kedua atau ke fasa ketiga Pelan Pemulihan Negara dengan angka kes jangkitan dapat dikurangkan, sebagaimana data dan usaha yang telah dilakukan di Labuan," katanya.

Iklan

Amirudin berkata, setakat ini Selangor sudah mencapai lebih 13 peratus penduduk dewasa telah lengkap divaksinasi manakala yang mendapat dos pertama sudah mencecah 40 peratus.

Beliau berkata, Selangor adalah negeri tertinggi kadar vaksinasi harian di seluruh negara iaitu lebih 100,000 dos sehari dan angka itu akan dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

Katanya, kadar vaksinasi itu akan ditambah melalui pertambahan 30 ke 40 peratus jurusuntik melalui kerjasama dengan pihak hospital dan klinik swasta serta pertambahan waktu operasi di Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

"Kita akan tambah waktu bekerja, ada cadangan 24 jam tapi kalau ikut perancangan sedia ada sampai pukul 10 malam pun kita boleh capai sasaran itu, tapi kita akan tengok dari segi kesesuaian masa, tempat dan keadaan PPV," katanya.

Dalam pada itu, katanya, pihak kerajaan negeri akan terus bekerjasama dengan pihak pengurusan kilang dan tapak pembinaan serta badan bukan kerajaan untuk memastikan pelarian dan pendatang tanpa izin juga divaksinasi.

"Mereka juga harus divaksinasi untuk kita mencapai imuniti kelompok, kalau mereka tidak dilindungi mereka boleh menjadi pembawa virus itu ke dalam masyarakat," katanya dan memaklumkan dianggarkan kira-kira 500,000 pelarian Rohingya berada di Selangor. - Bernama