SHAH ALAM - Sebanyak 250,000 dos vaksin bakal diterima menerusi Program Vaksin Selangor (SelVAX) Industri di bawah pelaksanaan Operasi Lonjakan Kapasiti pelan vaksinasi di Lembah Klang secara berperingkat bermula 23 hingga 30 Julai.
Exco Industri dan Perdagangan negeri, Datuk Teng Chang Kim dan Exco Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan negeri, Rodziah Ismail dalam kenyataan bersama berkata, pembekalan stok itu selaras dengan pengumuman Menteri Penyelaras Jawatankuasa Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV), Khairy Jamaluddin Abu Bakar serta Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, sebelum ini.
Iklan
Iklan
"Pembekalan stok vaksin bagi dos pertama dan dos kedua fasa awalan pada ketika ini berjumlah lebih kurang 40,000 dos vaksin,” menurut kenyataan itu.
Mana-mana syarikat dan industri yang berminat menyertai SelVAX Industri di Selangor serta Lembah Klang dipelawa untuk mendaftar dan seterusnya menvaksin pekerja mereka dengan melayari laman sesawang https://vax.selangkah.my atau hubungi talian 1-800-22- 6600 untuk maklumat lanjut.
SelVAX Industri menyediakan lima pusat pemberian vaksin (PPV) iaitu di Tropicana Gardens Mall, Kota Damansara; Evo Mall, Bandar Baru Bangi; Hotel De Palma, Shah Alam; Aurora Place, Bukit Jalil dan Kompleks Sukan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Kelana Jaya. - Bernama