GEORGETOWN - Taktik tiga lelaki mengedar dadah dengan menggunakan lori membawa kelapa gagal apabila mereka ditahan dalam sekatan jalan raya (SJR) di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu di sini, pada Ahad.
Ketua Jabatan Siastaan Jenayah Narkotik (JSJN) Pulau Pinang, Asisten Komisioner Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, ketiga-tiga lelaki berusia antara 26 hingga 32 tahun itu merupakan pemandu dan kelindan lori tersebut.
Menurutnya, lori yang dinaiki ketiga-tiga suspek diperiksa ketika melalui SJR tersebut sekitar jam 10.05 pagi, dan polis menemui 53 bungkusan heroin seberat 23.85 kilogram (kg) bernilai RM265,000.
"Ketika pemeriksaan, kesemua dadah tersebut tidak disorokkan malah ia hanya diletakkan dalam kotak di ruang kabin lori.
Siasatan mendapati, mereka menghantar bekalan kelapa dari Bagan Datuk, Perak dan mengambil kesempatan membawa dadah untuk pasaran di Pulau Pinang.
"Mereka menggunakan taktik ini untuk mengaburi mata polis," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini, pada Isnin.
Hadir sama, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain.
Katanya, ketika ditahan, ketiga-tiga suspek baharu menghantar kelapa di kawasan Georgetown dan dalam perjalanan menghantar bekalan dadah tersebut kepada ahli sindiket di Perai.
"Susulan penahanan tiga suspek itu, kami menahan seorang lagi pemandu lori berusia 35 tahun di Rungkup, Perak pada jam 4 petang hari sama.
Sindiket ini disyaki menjalankan kegiatan tersebut sejak April lalu.
"Mereka akan menghantar bekalan kelapa beserta dadah sebanyak empat hingga lima kali dalam sebulan dari Perak ke Pulau Pinang dengan bayaran RM1,000 setiap kali penghantaran," katanya.
Mustafa Kamal berkata, tiga daripada mereka mempunyai pelbagai rekod lampau melibatkan jenayah dan dadah.
"Dua daripada mereka positif dadah manakala dua lagi negatif. Mereka direman untuk siasatan lanjut.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.