BINTANG Paris Saint-Germain (PSG), Kylian Mbappé dilaporkan sudah menyatakan hasrat untuk tidak lagi kekal berada di bumi Paris musim depan.
Malah Mbappé juga merupakan pemain Perancis semasa kempen Euro 2020 lalu dikhabarkan tidak berminat langsung menyambung kontraknya bersama gergasi liga Perancis yang bakal berakhir pada Jun 2022.
Les Parisiens juga dikhabarkan menggunakan pelbagai cara bagi mengekalkan pemain berusia 22 tahun tersebut untuk kekal di Parc des Princes dibawah kepimpinan Mauricio Pochettino termasuk membeli pemain-pemain baharu.
Bagaimanapun menurut media Perancis, pemain yang memulakan karier remaja pada 2004 hingga 2013 bersama AS Bondy sebelum mengembangkan potensi diri dengan kelab pelapis AS Monaco dari
2013 dari 2015, tidak yakin pembelian pemain-pemain baharu tersebut mampu mengakhiri kemarau kejuaraan Liga Juara-Juara.
Pochettino telah pun merekrut beberapa pemain-pemain baharu seperti Achraf Hakimi, Gini Wijnaldum, Gianluigi Donnarumma dan Sergio Ramos bagi menambah kekuatan Les Parisiens, namun masih gagal menyakini pemain yang menjadi buruan Real Madrid, Juventus, Liverpool dan Bayern Munich tersebut.
Biarpun gelora yang bermula sejak beberapa bulan lalu belum menampakkan pengakhirannya, namun Presiden PSG, Nasser Al-Khelaifi tetap dengan pendirian tidak akan menjual pemain berstatus bintang tersebut, malah akan melakukan pelbagai usaha untuk mengekalkannya di ibu Kota Perancis berkenaan.
Dua minggu lalu Al-Khelaifi telah mengambil pendekatan turun padang berunding dengan Mbappé, namun biarpun begitu perkembangan rundingan antara wakil PSG dan Mbappe tidak menampakkan sebarang hala tuju positif.
Untuk rekod sebelum ini pemain-pemain lain kelab Ligue 1 tersebut sedia maklum hasrat Mbappé yang tidak mahu menyambung kontrak, sebaliknya menegaskan mahu meninggalkan Paris tahun ini atau 2022 apabila kontraknya berakhir.