KUALA TERENGGANU - Prihatin dengan nasib menimpa seorang warga emas, anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Terengganu membantu membersihkan kediaman wanita itu yang hangus dijilat api dalam kejadian pada Rabu lalu.
Ketua BBP Kuala Terengganu, Timbalan Penguasa Bomba, Rozizah Abni Hajar berkata, usaha di bawah aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu dilakukan 12 anggota daripada pasukan A, B dan C di kediaman warga emas, Semek Mamat, 62 di Kampung Kesom, Manir di sini.
"Warga emas itu tinggal di kediaman terbabit bersama dua orang anak yang mana salah seorangnya berstatus orang kurang upaya (OKU) dan seorang lagi menghidap penyakit buah pinggang kronik.
"Program CSR ini dilakukan antaranya membersihkan semula sisa-sisa kebakaran yang memusnahkan kira-kira 80 peratus kediaman ini," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.
Beliau berkata, aktiviti pembersihan yang bermula jam 11 pagi itu siap pada jam 1.30 petang sebelum disusuli penyerahan sumbangan terhadap mangsa kebakaran.
"Pihak bomba turut menyampaikan sumbangan berbentuk barangan keperluan harian dan wang tunai daripada tabung mangsa kebakaran yang dilancarkan pada 14 Julai lalu," katanya.
Dalam pada itu, Rozizah berkata, beliau berharap usaha dilakukan itu sedikit sebanyak dapat menceriakan keluarga Semek serta dapat meringankan beban yang di tanggung.
Katanya, pihaknya turut merakam penghargaan atas penglibatan seluruh warga BBP Kuala Terengganu yang telah menghulurkan sumbangan bagi menjayakan program CSR itu.