Rayuan kes saman Najib pada 5 Oktober

Iklan
Datuk Seri Najib Tun Razak

PUTRAJAYA- Mahkamah Rayuan menetapkan 5 Oktober untuk mendengar rayuan Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang membatalkan samannya terhadap AMMB Holdings Berhad, AmBank dan bekas Pengurus Perhubungannya Joanna Yu Ging Ping.

Peguam Datuk Dr Gurdial Singh Nijar yang mewakili Yu, semasa dihubungi mengesahkan tarikh berkenaan selepas pengurusan kes tersebut dihadapan Penolong Kanan Pendaftar KB Elena Hong Tze Lan pada Isnin.

Iklan
Iklan

Bekas Perdana Menteri itu merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan permohonan AMMB Holdings Berhad, AmBank dan Yu untuk membatalkan saman yang difailnya.

Najib memfailkan saman terhadap AMMB Holdings, AmBank dan Yu pada 9 Disember 2019 atas dakwaan pendedahan maklumat akaun banknya kepada ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low.

Iklan

Pada 28 September lepas, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Khadijah Idris memutuskan saman yang difailkan oleh Najib itu sebagai suatu yang melampau, menyakitkan hati, remeh-temeh dan menyalahgunakan proses mahkamah

Khadijah berkata, saman Najib terhadap tiga defendan itu merupakan penyalahgunaan proses mahkamah kerana dibuat sebagai kolateral untuk perbicaraan kes jenayahnya berhubung dana SRC International Sdn Bhd.

Iklan

Yu merupakan saksi pendakwaan ke-54 dalam perbicaraan kes pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd yang sedang dihadapi Najib.

Pada 28 Julai tahun lepas, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohd Nazlan Mohd Ghazali menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib bagi kes jenayah membabitkan dana SRC International itu.

Mahkamah Rayuan mendengar rayuan Najib selama 15 hari bermula April lepas dan menangguhkan keputusannya.

Dalam samannya terhadap AmBank, AMMB Holdings dan Yu, Najib, dalam pernyataan tuntutannya mendakwa AmBank dan Yu melakukan kecuaian ketika mengendalikan akaun banknya (berakhir dengan angka 694, 880, 898 dan 906) dengan mendedahkannya kepada Jho Low.

Ahli Parlimen Pekan itu mendakwa defendan telah mendedahkan penyata bank, transaksi debit dan pengiriman wang, dan baki dana akaun 694 kepada Low sebagai pihak ketiga, tanpa kebenaran. - Bernama