TANJUNG MALIM - Sebanyak 11 kenderaan yang cuba masuk ke negeri ini melalui dua sekatan jalan raya (SJR) sempadan Perak-Selangor diarah berpatah balik.
Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, arahan itu dikeluarkan hasil pemeriksaan dilakukan di SJR Kilometer 126, Jalan Persekutuan Kuala Lumpur berhampiran Taman Universiti dan SJR Behrang Selisik pada Isnin.
Menurutnya, kebanyakan mereka dikesan menggunakan surat kebenaran daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) yang bukan berkaitan petrol dan makanan.
"Beberapa kenderaan yang diperiksa memberi alasan masuk ke daerah ini untuk membeli barang, namun mereka diarah berpatah kerana memberi alasan meragukan.
"Selain menggunakan surat kebenaran MITI, mereka turut dikenakan tindakan sama selepas didapati mengemukakan tarikh janji temu penerimaan vaksin Covid-19 yang berbeza dan tidak memiliki surat kebenaran polis," katanya ketika dihubungi pemberita pada Isnin.
Beliau berkata, tindakan tegas dan pemantauan rapi dilakukan bagi mengelak orang ramai menyalah guna kebenaran bagi tujuan pulang menyambut Aidiladha Selasa ini.
Katanya, berdasarkan pemantauan setakat ini, kenderaan yang masuk ke daerah Muallim tidak menunjukkan sebarang pergerakan luar biasa.
"Aliran trafik juga dalam keadaan terkawal iaitu pada skala satu dengan hanya kenderaan yang mempunyai surat kebenaran dibenarkan merentas ke daerah ini," katanya.
Pada Ahad, sebanyak 35 kenderaan yang dipercayai cuba memasuki Kelantan melalui dua sekatan jalan raya (SJR) di sempadan negeri dan daerah di Gerik diarah berpatah balik.
Arahan itu hasil pemeriksaan di Kilometer 89 Jalan Gerik-Kuala Kangsar dan Kilometer 9 Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli.