Patuh SOP satu jihad besar selamatkan nyawa: PM

Iklan
Muhyiddin menyampaikan Ucapan Khas Aidiladha hari ini. - Foto Bernama

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Pengorbanan rakyat untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) merupakan satu jihad besar dalam ikhtiar untuk menyelamatkan nyawa semua, kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Kata beliau, rakyat perlu terus berada di rumah dan menyambut perayaan Aidiladha bersama keluarga secara sederhana.

Iklan
Iklan

"saya berharap agar saudara dan saudari mengekalkan disiplin dan kepatuhan terhadap SOP. Ketika ini kita masih tidak diizinkan melakukan aktiviti merentas negeri dan saling menziarahi.

"Kepada ALLAH kita mohon semoga wabak Covid-19 segera berakhir. Sesungguhnya, pertolongan dan rahmat ALLAH bersama hamba-hambaNya yang sentiasa berusaha gigih, bersabar dan bertawakal,” katanya semasa ucapan khas sempena Hari Raya Aidiladha pada Isnin.

Iklan

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, kerajaan membenarkan pelaksanaan solat Sunat Aidiladha dan solat Jumaat dengan diperluaskan kuantitinya kepada 50 orang.

Katanya, bagaimanapun, Pihak Berkuasa Agama Islam Negeri akan menetapkan SOP mengikut kesesuaian di negeri atas perkenan Sultan-Sultan Negeri.

Iklan

Selain itu, menurut beliau, negara kita akan dapat mencapai matlamat imuniti kelompok dalam beberapa bulan lagi berdasarkan kelancaran pemberian vaksin Covid-19 yang sedang berjalan di seluruh negara ketika ini.

"Setakat ini, pusat pemberian Vaksin secara konsisten mencapai jumlah lebih 400, 000 dos sehari, yang meletakkan negara di landasan yang betul untuk mencapai sasaran imuniti kelompok menjelang akhir tahun ini,” kata beliau lagi.

Dalam pada itu Muhyiddin turut memaklumkan, urusan berkaitan operasi haji pada tahun ini terpaksa ditangguhkan kerana akur dengan keputusan muktamad pihak berkuasa Arab Saudi.

"Arab Saudi tidak membenarkan jemaah negara luar termasuk Malaysia ke Tanah Suci atas faktor ancaman kesihatan lantaran wabak Covid-19 yang masih berleluasa.

"Saya faham bahawa ramai di kalangan kita yang berasa amat sedih dengan berita ini, namun saya percaya saudara-saudari telah menerima ketentuan ini dengan penuh redha, sabar dan berlapang dada.

"Semoga pada tahun hadapan ALLAH mengizinkan umat Islam di Malaysia untuk kembali mengerjakan haji,” katanya.