Penceroboh cedera terjun tingkat tiga bangunan

Iklan
Suspek cedera selepas terjun dari tingkat tiga sebuah bangunan kediaman guru di bawa ke hospital untuk rawatan lanjut.

LABUAN - Seorang lelaki cedera di kepala dan patah tulang tangan selepas bertindak nekad terjun dari tingkat tiga kediaman guru sebuah sekolah di sini bagi mengelak ditahan polis, pada Ahad.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.20 petang itu, lelaki berusia 33 tahun itu dipercayai bertindak menceroboh bangunan berkenaan namun disedari petugas sekolah terbabit.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Ahmad Jawila berkata, pihaknya menerima laporan pada jam 4.50 petang hari yang sama daripada pengadu.

"Siasatan mendapati, pengadu bersama dua rakannya datang ke lokasi kejadian untuk membuat pemeriksaan dan ketika berada di tingkat tiga, terdapat sesuatu yang mencurigakan di sebalik pintu tandas yang tertutup.

Iklan

"Pengadu kemudian bertindak menolak pintu itu dan suspek yang dipercayai bersembunyi terkejut lalu memanjat tingkap tandas dan keluar ke beranda sebelum melarikan diri dengan terjun dari tingkat tiga bangunan itu," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Ahmad berkata, akibat tindakan itu, suspek mengalami kecederaan di kepala, patah tulang di bahagian tangan kiri serta luka di pinggang kiri namun dilaporkan stabil.

Iklan

"Pemeriksaan lanjut di lokasi turut menemui beg dan alat kuku kambing dipercayai milik suspek," katanya.

Minuman tin dirampas dipercayai kegiatan pecah masuk sebuah gudang oleh tiga suspek yang ditahan polis di Kampung Saguking, Labuan.

Katanya lagi, semakan rekod jenayah mendapati suspek yang menganggur itu mempunyai tiga rekod kesalahan lampau di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Kes masih dalam siasatan mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan," katanya.

Sementara itu, dalam kes berasingan, polis turut berjaya menahan tiga suspek dipercayai terlibat dalam kegiatan pecah masuk sebuah gudang di Kampung Saguking pada 28 Jun lalu.

Ahmad berkata, tiga lelaki berusia antara 25 hingga 48 tahun itu ditahan dalam dua tangkapan berasingan pada Sabtu dan Ahad.

"Polis turut berjaya merampas semula tujuh karton minuman tin yang dilaporkan hilang manakala selebihnya dijual dan diminum oleh suspek.

"Bagaimanapun, polis masih mengesan tiga lagi suspek lain dipercayai turut terlibat dalam kegiatan pecah masuk gudang itu," katanya.