BAGAN SERAI - Seorang pemuda menjual durian kampung hanya pada harga RM1.99 sekilogram dengan niat untuk memberi peluang kepada semua lapisan masyarakat menikmati buah berkenaan sejak seminggu lalu.
Mohd Shukri Omcek, 27, yang membuka gerai jualan berhampiran Pasar Awam Bagan Serai dekat sini berkata, langkah itu diambil selepas terkesan dengan rungutan orang ramai mengatakan harga durian mahal dan hanya golongan kayangan yang mampu membelinya.
"Saya sedih bila ada yang mengadu tak mampu nak beli durian kerana harganya yang tinggi di pasaran. Atas sebab ini saya bersama seorang rakan mencari pekebun-pekebun durian di sekitar kawasan Bukit Gantang dan Trong yang menawarkan jualan rendah secara borong.
"Dengan cara ini, dapatlah kami menjual pada harga serendah RM1.99 sekilogram," katanya ketika ditemui pemberita pada Isnin.
Beliau berkata, sambutan yang diterima sepanjang seminggu ini di luar jangkaan hingga dalam satu-satu masa tiga tan durian habis dijual tidak sampai satu jam.
Katanya, ada ketika mereka yang datang ke tapak gerainya pulang dengan perasaan hampa kerana bekalan durian telah habis.
"Sebelum lori saya sampai, sudah ada pelanggan yang menunggu lebih awal di tapak jualan. Dalam seminggu ini lebih 20 tan durian sudah terjual," katanya.
Sementara itu, seorang pelanggan, Mohd Khaizal Mohd Shaari, 48, mengakui harga yang ditawarkan sangat rendah dan berbaloi sekali gus memberi peluang kepada orang ramai yang berpendapatan rendah membeli raja buah itu.
"Sikap penjual durian yang menawarkan jualan murah seperti ini perlu dipuji kerana dalam tempoh pandemik Covid-19, sudah tentu ramai terjejas pendapatan. Jika dijual mahal, memang ada yang tak mampu nak beli," katanya.
Video jualan durian RM1.99 sekilogram itu turut tular di media sosial sejak beberapa hari lalu.