KOTA BHARU - Seramai 60 anak yatim yang tidak berkemampuan dan asnaf di negeri ini berpeluang memiliki lesen memandu menerusi kursus dan latihan memandu secara percuma inisiatif Akademi Memandu Nasrom (AMN) Sdn Bhd pada setiap tahun.
Kursus dan latihan memandu tersebut disediakan oleh syarikat berkenaan melalui Pakej Lesen Prihatin yang akan bermula Ogos ini.
Presiden Pertubuhan Amal AMN Prihatin, Mohammad Suhairy Ab Halim berkata, sejumlah RM70,000 dana diperuntukkan bagi menampung pakej merangkumi lesen kenderaan D (manual), DA (automatik) dan B2 (motosikal).
"Harga kursus dan latihan memandu bagi lesen D dan DA bernilai RM1,400 manakala RM400 untuk mendapatkan lesen B2.
"Kami menyediakan secara percuma dengan lima peserta setiap bulan akan mengikuti kursus bermula Ogos dan keseluruhan 60 peserta untuk setahun,” katanya ketika ditemui ketika sumbangan bakul makanan dan perasmian Food Bank di AMN Sering, Kedai Lalat di sini pada Ahad.
Sumbangan turut diberikan kepada 30 ahli Gabungan Kelab Kereta Negeri Kelantan (GKKK) yang diterima oleh Presiden GKKK, Wan Azley Wan Mohamed.
Mohammad Suhairy berkata, pemberian kursus percuma tercetus apabila menerima banyak aduan daripada golongan kurang berkemampuan yang memerlukan lesen kenderaan untuk bekerja.
"Mereka yang berkelayakan dan berminat boleh memohon melayari web akademimemandunasrom.com dan pihak kami juga akan mengadakan tapisan serta temubual sebelum mengambil peserta.
"AMN sedang mengadakan pengambilan dan kursus akan dilaksanakan secara maya sebelum pertemuan fizikal apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tamat,” katanya.
Sementara itu, Pengurus AMN Nur Safrizal Ab Halim berkata, AMN juga menyediakan kursus pemanduan e-hailing bernilai RM300 bagi memudahkan mereka menjana pendapatan.
Katanya, sumbangan bakul makanan pada program berkenaan pula bagi membantu golongan kurang berkemampuan menyambut Aidiladha.
"Diharap sumbangan barangan makanan iaitu beras, gula, sardin, tepung dan wang ringgit ini akan memberi keceriaan kepada mereka pada musim raya korban.
"Selainnya, mereka yang memerlukan juga boleh mengambil barangan keperluan makanan yang diletakkan di Food Bank di hadapan pejabat AMN di Sering,” katanya